Buletin

TRAFIK ISTANBUL PALING SESAK DI DUNIA. KL JATUH TANGGA KE-210

Impak wabak Covid-19 ternyata memberi kesan besar apabila kadar aliran trafik di Kuala Lumpur pada tahun lalu menduduki tangga ke-210 yang paling sesak di dunia.

Situasi positif itu berdasarkan kajian sebuah firma teknologi navigasi antarabangsa, TomTom berpusat di Amsterdam, Belanda menerusi laporan indeks trafik 2021 diterbitkan kelmarin.

Kajian berkenaan meliputi sejumlah 404 bandar raya dari 58 buah negara di semua enam benua yang mengukur kesesakan jalan raya urban mengikut jumlah kerugian masa setahun.

Menurut indeks tahunan tersebut, para pemandu kereta di Kuala Lumpur membuang masa yang bersamaan 48 jam setahun terperangkap di pusat bandar akibat isu kesesakan teruk.

Jumlah itu setara 17 bandar raya lain antaranya Washington DC, Amerika Syarikat (AS); Prato, Itali; Liege, Belgium; Santa Cruz, Sepanyol; Rotterdam, Belanda dan Freiburg, Jerman.

Sekadar perbandingan dengan rekod pada 2020 lalu, ibu negara Malaysia itu di kedudukan ke-77 atau kerugian masa 126 jam, manakala pada 2019 pula tangga ke-46 atau 170 jam.

Berdasarkan indeks terbaharu 2021, Istanbul berada di tempat pertama paling teruk kesesakan trafik dengan warga kota Turki itu membazir masa bersamaan 142 jam setahun.

Setahun sebelum itu, bandar raya terbesar negara tersebut di tangga kelima, manakala ibu kota Rusia, Moscow yang mengungguli ‘carta’ pada 2020, turun tempat kedua tahun lepas.

Kuala Lumpur pula ternyata berjaya memperbaiki kedudukannya berbanding ibu kota lain rantau Asia Tenggara antaranya ialah Manila, Filipina (ke-18) dan Jakarta, Indonesia (ke-46). – UTUSAN/hurriyetdailynews

Google ads
Back to top button