Buletin

PADA 1971, NISSAN FAIRLADY 240ZG DIGUNAKAN SEBAGAI KERETA POLIS

Sekarang ini jika ditanya tentang kereta sport Nissan paling popular, jawapan yang diberikan pastinya GT-R R35. Model ini begitu popular sehinggakan sudah berusia lebih satu dekad di pasaran tanpa sebarang pengesahan kukuh akan diganti dalam masa terdekat.

Pakej yang diberikan juga sentiasa diperbaharui dan masih relevan untuk ditawarkan di sebalik usianya. Bukan tidak ada pesaing tetapi GT-R seolah-olah kalis dengan model-model baharu yang ditawarkan oleh jenama lain.

Sejarah penawaran model sport dua pintu Datsun atau Nissan memang panjang sehingga berpuluh tahun lamanya. Satu lagi model warisan Datsun atau Nissan yang bertahan lama ialah Fairlady.

Nissan Fairlady Z 1969

Sama seperti Skyline atau GT-R, model ini mempunyai sejarah panjang. Nama Fairlady pertama kali digunakan pada tahun 1960 sebagai nama lain kepada Datsun Sports SPL 212. Model ini juga merupakan kereta sport pertama Datsun yang diimport ke Amerika Syarikat.

Pada Disember 1969, Fairlady Z (S30) diperkenalkan yang turut dinamakan sebagai Datsun 240Z. Inilah permulaan kepada model yang dikenali sebagai kereta Z. Model ini bukan sahaja popular di Jepun tetapi juga di Amerika Utara dan pelbagai lagi negara lain.

Fairlady Z S30 dibangunkan sebagai pengganti Datsun Sports 2000 (SR311).

Populariti model ini disebabkan beberapa faktor seperti reka bentuk menarik, tahap keselesaan dan keselamatan, enjin berprestasi tinggi, suspensi bebas pada kesemua roda dan harga mampu milik.

Nissan Skyline Hakosuka GT-R. Legenda!

Pada asalnya model di Jepun ditawarkan dengan pilihan tunggal 2,000 cc berkuasa 130 hp. Siri enjin 2,400 cc dengan kuasa 151 hp kemudian diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat.

Di dalam siri enjin Fairlady Z generasi pertama, Nissan turut memperkenalkan model Z432 yang menggunakan enjin 2,000 cc S20, unit ini adalah sama seperti yang digunakan pada Nissan Skyline 2000 GT-R atau popular dengan kod KPGC10 dan Hakosuka.

Satu lagi kisah menarik tentang siri pertama Fairlady Z ialah apabila model 240ZG digunakan sebagai kereta peronda  untuk Kanagawa Prefectural Police sejak dari tahun 1972.

Unit peronda ini banyak digunakan di atas lebuh raya dan jarak penggunaannya mencecah 370,940 kilometer.

Nissan 370Z NISMO

Generasi pertama Fairlady Z berada lama di pasaran sehinggalah generasi kedua dikenali sebagai Nissan 280ZX diperkenalkan pada tahun 1978. Generasi ini juga menyaksikan Nissan menawarkan model bernadikan enjin turbo berkuasa 180 hp dan 275 Nm diperkenalkan pada tahun 1981.

Legasi Fairlady Z kini diteruskan pada Fairlady Z (Z340) dan 370Z yang diperkenalkan pada tahun 2009.

Sama seperti GT-R R35, Fairlady Z juga masih ditawarkan sehingga sekarang dan tiada lagi petunjuk kukuh ia akan digantikan dengan generasi baharu di dalam masa terdekat.

Lagi pula kedua-dua model ini masih relevan dan tidak terasa seperti ketinggalan zaman memandunya.

Tags
Google ads
Back to top button