" "
Buletin

PADA 2005 NISSAN WINGROAD DIPERKENAL – SIRI AKHIR AD RESORT

Kereta jenis wagon walaupun dikatakan kurang mendapat sambutan di negara kita hakikatnya mudah mendapat perhatian dan tidak kurang yang meminatinya.

Boleh jadi kerana harga yang ditawarkan. Bagaimanapun, apabila diolah kepada enam tempat duduk sambutan terus berbeza. Lihat sahaja sambutan Toyota Wish, Honda Stream, Nissan Grand Livina di negara kita.

Selain itu, di antara wagon yang diminati di kalangan peminat ubahsuai kereta ialah Nissan AD Resort.

Di Jepun, sejarah Nissan AD bermula pada tahun 1982 dengan kod nama VB11. Menariknya Nissan AD mempunyai varian tiga pintu yang diperkenalkan pada tahun 1983.

Nissan AD VB11 memang dibuat untuk kerja dengan suspensi daun di belakang.

Nissan AD VB11 tidak hanya dibuat untuk pasaran Jepun malah dijual di banyak negara lain seperti Belgium, Belanda, United Kingdom dan Australia.

AD yang popular di negara kita ialah generasi kedua atau dikenali sebagai AD Resort (Y10). Model ini diperkenalkan pada tahun 1990 dan mempunyai beberapa jenis badan seperti dua pintu dan pikap!

Pada tahun 1996, AD versi mesra penumpang atau dikenali sebagai Wingroad pertama kali diperkenalkan di Jepun. 

Pada tahun 1999, AD Y10 diganti dengan generasi ketiga Y11 dan model ini sangat sukar ditemui di negara kita.

Nissan terus komited dengan AD dan model Wingroad baharu diperkenalkan pada tahun 2005 di Jepun. 

Wingroad hadir lebih mesra pengguna am dengan reka bentuk segar dan pelbagai ciri menarik.

Di antaranya ialah kerusi belakang boleh gelungsur 120mm dan rebah sehingga 40 darjah untuk ruang lebih selesa.

Kerusi pemandu dan penumpang depan juga boleh direbah sepenuhnya untuk ruang lebih besar.

Selain itu kesemua kerusi kecuali pemandu boleh dilipat rata menggunakan alat kawalan (remote control).

HR18DE

Wingroad digerakkan oleh dua pilihan enjin aluminium iaitu 1.5 liter HR15DE dan 1.8 liter MR18DE. Enjin 1.8 dipadan bersama transmisi CVT.

Dari segi pengendalian, sistem suspensi Wingroad ditala khas untuk wagon bagi memastikan perjalanan lancar dan selesa untuk pemanduan di bandar dan jarak jauh.

Istimewa buat pelanggan yang mahukan sesuatu lebih sporti, Nissan menawarkan Wingroad Rider. Model ini menerima sentuhan daripada Autech.

Di antara kelengkapan istimewa ialah komponen aero dan gril eksklusif. Bahagian dalam menggunakan tema hitam pada kerusi dan kemasan.

Satu lagi kombinasi istimewa ialah tayar dan suspensi sporti untuk pengendalian lebih tajam dan responsif.

Kepada yang tertanya, kenapa Wingroad tidak dijual di negara kita? Jawapannya ialah Wingroad diganti dengan Grand Livina.

Kedua-dua model menggunakan platform Nissan-Renault BO serta enjin HR15DE dan HR18DE. (Di negara kita ada HR16DE).

Dengan generasi keempat Y12, siri ini berada di pasaran begitu lama dan ditamatkan pada Mac 2018.

Kepada yang meminati wagon seperti Wingroad atau MPV rendah seperti Grand Livina, kedua-duanya sudah tiada.

Nissan menggantikannya dengan Livina serba-baharu yang dikongsi dari MPV Mitsubishi Xpander. 

Kredit foto: Nissan

Google ads
Back to top button