Buletin

PANTAU TEKANAN TAYAR ANDA DENGAN PERODUA GEARUP SMART BLUETOOTH TPMS

Perodua memperkenalkan sistem pemantauan tekanan tayar yang dikenali sebagai GearUp Smart Bluetooth TPMS.

Produk inovatif itu membolehkan pengguna mengetahui tahap tekanan tayar kenderaan pada masa sebenar.

Sehingga 30 Jun depan, Perodua GearUp Smart Bluetooth TPMS ditawarkan pada harga RM385 seunit. Selepas itu harganya ialah RM430 di Semenanjung Malaysia. Sama seperti semua aksesori GearUp, peranti ini didatangkan dengan jaminan selama enam bulan.

“Dengan Perodua GearUp Smart Bluetooth TPMS, Perodua menjadi pengeluar kenderaan pertama di Malaysia yang menawarkan sistem pemantauan tekanan tayar menerusi aplikasi peranti mudah alih sebagai satu aksesori tulen.

“Peranti ini dibangun dan dikilangkan di Malaysia. Perodua berbangga kerana mengetengahkan produk tempatan, sekali gus menyumbang kepada ekosistem automotif negara,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dato’ Dr Zahari Husin.

Produk itu mempunyai empat empat alat pengesan bagi setiap tayar dan satu peranti pintar di dalam kereta. Sensor yang diskru pada tayar, seterusnya menyalurkan maklumat menerusi Bluetooth.

Peranti di dalam kereta itu memiliki empat lampu yang mewakli empat tayar kenderaan. Jika ada mana-mana tayar yang tekanannya kurang lapan peratus, amaran dengan bunyi beep dan lampu akan menyala. Jadi, pemandu akan lebih peka untuk mengisi angin tayar kenderaan.

Bagi menghalang kecurian, setiap sensor tayar itu dikunci menggunakan nut spanner yang disertakan sekali.

Perodua GearUp Smart Bluetooth TPMS merupakan produk kedua yang ditawarkan di bawah inisiatf kempen keselamatan jalan raya Perodua selepas tempat duduk keselamatan kanak-kanak.

Pengguna juga boleh memuat turun aplikasi FOBO Tire untuk mendapatkan data tekanan dan suhu tayar pada waktu sebenar melalui Bluetooth.

Aplikasi tersebut menyimpan data yang boleh dilihat oleh pengguna lain, misalnya ahli keluarga.

Google ads
Back to top button