" "
Artikel Pilihan

PAPAN PEMUKA TOYOTA GR YARIS KELAKAR? MACAM LORI?

Toyota GR Yaris merupakan bukti nyata bagaimana pengalaman dalam dunia perlumbaan sebenar diterjemahkan dalam satu produk yang boleh dibeli dan dipandu setiap hari. Selepas model versi pertama mendapat sambutan hangat pada tahun 2024 dulu, UMW Toyota Malaysia telah membawa masuk varian terbaru untuk dijual secara rasmi pada tahun 2025

Seperti yang kita sedia maklum, rekaan GR Yaris adalah rekaan yang menggunakan sepenuhnya input dan pengalaman Toyota dalam perlumbaan rali. Malah selepas dilancarkan beberapa tahun lepas, Toyota sudahpun memulakan kajian bagaimana untuk menjadikan GR Yaris lebih baik selepas menerima maklum balas dan data daripada pelumba semasa perlumbaan berlangsung

Selain daripada sistem trenkuasa, jurutera Toyota juga menghasilkan rekaan kokpit yang baru dengan memberikan penekanan kepada falsafah “driver first, driver centric” bagi model terbaru. Pasukan jurutera Gazoo Racing telah memposisikan semula semua butang, alat kawalan dan suis bagi memberikan akses yang lebih baik bagi membolehkan pemandu memandu dengan lebih laju

Ini membolehkan pemandu rali membuat perubahan yang memberikan prestasi yang baik dan kawalan penuh pada pemandu seperti mematikan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik, mengidupkan sistem semburan intercooler turbo dan lampu kecemasan biarpun sedang memakai tali pinggang kecemasan 6 poin.

Papan pemuka di sebelah kiri pula sengaja dibiarkan kosong dan besar bagi memudahkan pemilik memasang apa jua meter informasi yang diperlukan oleh mereka. Papan pemuka GR Yaris 2025 juga telah direndahkan sebanyak 50mm bagi penglihatan ke depan yang lebih baik

Pakej perubahan termasuklah memposisikan semula cermin pandang belakang dan juga menghasilkan papan pemuka pada sudut 15 darjah lebih ke arah pemandu. Meter digital 12.3 inci juga disertakan dengan mode sport, yang akan memaparkan semua maklumat tambahan serta bebas dari perhiasan yang tidak diperlukan seperti krom

Bagi varian automatik, paparan meter digital dalam sport mode akan turut disertakan dengan maklumat tambahan lain seperti suhu minyak pelincir sistem transmisi dan juga amaran visual sekiranya pelumba menurunkan gear terlalu agresif yang boleh menyebabkan kerosakan enjin

Bagi membolehkan semua pemandu duduk dengan tepat sewaktu berlumba, jurutera Gazoo Racing juga bertindak merendahkan kedudukan kusyen pemandu sebanyak 25mm berbanding kedudukan asal serta mengubah sudut stering

Keadaan ini memudahkan pemandu menolak tombol gear bagi menaikkan dan menurunkan gear, berdasarkan input daripada Morizo, iaitu Pengerusi Toyota Motor Corporation sendiri

Google ads
Back to top button