
PARKIR PINTAR SUNWAY – BAYAR PARKIR GUNA E-DOMPET SAHAJA
Sunway hari ini mengadakan sesi pratonton media bagi Sunway Smart Parking (Parkir Pintar Sunway).
Ia merupakan sistem pengecaman plat lesen menyeluruh yang terbesar, merangkumi pelbagai rakan kongsi dompet elektronik (e-dompet) seperti GrabPay, Boost, WeChat Pay, Alipay, Touch N ‘Go Digital dan Maybank QR bersama rakan kongsi kredit iaitu MasterCard, Visa, American Express, JCB, UnionPay dan MyDebit.
Pengalaman parkir tanpa tunai dan tiket merupakan sebahagian daripada usaha pendigitalan Sunway untuk memudahkan para pengunjung. Pengunjung juga tidak perlu lagi menurunkan tingkap dan bersusah payah untuk mengambil tiket parkir.

Secara tidak langsung, Sunway Smart Parking dapat mengurangkan pelepasan karbon kenderaan dan menjadi inisiatif pertama diperkenalkan di pusat beli-belah. Ini sejajar dengan komitmen Sunway terhadap Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sunway Smart Parking akan dilaksanakan dalam kawasan Bandar Sunway yang merangkumi Sunway Pyramid, Hotel-Hotel Sunway dan Menara Sunway. Sistem ini merupakan sistem parkir pintar pertama yang hadir dengan pelbagai pilihan pembayaran e-dompet untuk memberi lebih kemudahan buat pemandu.
Buat masa sekarang, sistem ini tersedia secara dalam talian bagi pemegang pas bulanan parkir dan akan dilancarkan kepada orang ramai pada suku pertama tahun 2020.

Dengan Sunway Smart Parking, pemandu tidak perlu mendapatkan dan membayar menggunakan tiket parkir apabila mereka masuk dan keluar daripada prasarana Sunway.
Sebaliknya, mereka hanya perlu mendaftarkan nombor plat kereta mereka di portal Sunway Parking. Setelah mendaftar, mereka harus memastikan bahawa plat kereta mereka dihubungkan dengan e-dompet yang terlibat untuk membuat pembayaran, seterusnya membolehkan mereka masuk dan keluar dari prasarana Sunway tanpa sebarang masalah.
Apabila pengunjung yang berdaftar dengan sistem memasuki prasarana, plat kereta mereka akan diimbas oleh sistem pengecaman plat lesen. Apabila plat lesen telah dikenal pasti, palang akan terangkat secara automatik dan mereka boleh meneruskan perjalanan.
Bagi pengunjung yang tidak menggunakan e-dompet atau tidak mempunyai akses internet, mereka boleh memilih untuk membayar menggunakan kad Touch ‘n’ Go atau melalui sistem pembayaran automatik untuk tempoh tertentu bagi memberi ruang kepada masa penyesuaian.
Pengunjung yang mendaftarkan nombor plat kereta mereka semasa tempoh pra-pendaftaran berpeluang untuk menikmati satu kali parkir percuma apabila dibuka kepada orang ramai.
Maklumat lanjut, sila layari medium sosial Sunway Pyramid, layari laman web: www.sunwaypyramid.com/smartparking atau hubungi talian: 03-7494 3185.