Buletin

PASUKAN BOBSLEIGH JAMAICA BERLATIH TOLAK KERETA MINI. SASAR LAYAK OLIMPIK MUSIM SEJUK BEIJING

Pasukan bobsleigh Jamaica sudah biasa menjalani latihan tanpa salji, tetapi sekatan sempadan akibat wabak COVID-19 menyaksikan atlet lelaki mereka mengambil pendekatan menolak kereta sekitar jalan di Britain.

Pendekatan tersebut dilakukan untuk memastikan mereka kekal sihat dan bertenaga dengan sasaran dapat melayakkan diri pada temasya Olimpik.

Bahkan, beberapa penduduk Peterborough yang prihatin pernah menawarkan bantuan membantu Shanwayne Stephens dan Nimroy Turgott apabila melihat mereka menolak kereta Mini.

Mereka kemudian menyedari bahawa ia merupakan sebahagian daripada rejim latihan baharu apabila gimnasium di Britain ditutup akibat pandemik COVID-19.

“Kami perlu memikirkan pendekatan baharu untuk melakukan latihan. Justeru, kami fikir mengapa tidak keluar dan menolak kereta.

“Ada yang pelik melihat kami, ada yang datang ingin membantu kerana beranggapan kereta yang ditolak mengalami kerosakan.

“Begitupun, apabila memaklumkan kami merupakan pasukan bobsleigh Jamaica, mereka sangat teruja,” kata Stepens, 29, kepada Reuters.

Pasangan ini berkata pasukan bobsleigh lelaki Jamaica yang layak pada temasya Olimpik Musim Sejuk di Calgary, Kanada pada tahun 1988 menjadi sumber inspirasi mereka.

Kesungguhan pasukan berkenaan melayakkan diri dalam sukan Olimpik telah diangkat menjadi filem Cool Running pada 1993.

Mereka meletakkan sasaran layak dalam Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dan ingin mengatasi pencapaian pasukan tahun 1988.

“Pasukan tersebut meletakkan legasi dalam sukan Jamaica, sehinggakan sebuah filem telah dibikin daripada kejayaan mereka. Secara peribadi, saya ingin lakukan yang lebih baik,” kata Turgott yang menetap di Jamaica.

Dia yang tinggal bersama Stephen sejak Januari lalu merancang latihan di Britain sepanjang musim panas di gimnasium berbanding di jalan raya.

“Sebelum ini, kami terlepas peluang untuk melayakkan diri. Dengan pengalaman dan motivasi untuk maju ke hadapan, kami akan berusaha sebaik mungkin demi memperoleh kejayaan,” ujarnya.

Tags
Google ads
Back to top button