,
Buletin

LALUAN DESTINASI PILIHAN RAMAI AKAN DITAMBAH SEPANJANG PKPP – AIRASIA

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd akan menambah kekerapan penerbangannya ke laluan destinasi pilihan ramai ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Riad Asmat berkata ini meliputi laluan Kuala Lumpur ke Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu serta dari Johor Bahru ke Kuching dan Pulau Pinang.

 “Kami menyaksikan permintaan yang menggalakkan bagi perjalanan domestik sejak operasi penerbangan disambung semula .

“Justeru, kami akan terus memantau permintaan itu. Kami harap dapat meningkatkan kekerapan penerbangan dari hab lain seperti Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang secara beransur-ansur tidak lama lagi,” kata Riad.

Destinasi domestik lain AirAsia adalah Alor Setar, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Miri, Bintulu, Sibu, Sandakan, Tawau serta Labuan.

Mengulas mengenai langkah-langkah keselamatan di dalam pesawat, Riad memberitahu adalah penting bagi AirAsia untuk terus mendidik penumpang mengenai penerbangan selamat. Ia sebagai usaha membina semula keyakinan bagi melakukan semula perjalanan udara.

Justeru, AirAsia telah melaksanakan pelbagai langkah menerusi fasa berbeza. Antaranya melakukan pemeriksaan suhu badan, mensyaratkan bagasi tangan yang terhad, penggunaan penutup hidung dan mulut, prosedur tanpa sentuh bagi semua peringkat, standard kebersihan sewajarnya dan latihan perubatan di dalam pesawat untuk anak-anak kapal.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menegaskan bahawa risiko penyebaran COVID-19 di dalam pesawat adalah amat rendah kerana dilengkapi ciri-ciri yang mengurangkan kemungkinan tersebut.

“Menerusi penerangan berterusan yang disalurkan kepada penumpang, kami percaya ini dapat membantu membina keyakinan untuk mereka kembali melakukan perjalanan udara,” katanya. – Bernama

Tags
Google ads
Back to top button