
CUBAAN ‘CURI’ MERCEDES GAGAL, BERUANG JADI BINTANG TIKTOK
Seekor beruang menjadi bintang laman sosial perkongsian video TikTok apabila cubaan untuk ‘melarikan’ sebuah Mercedes-Benz gagal.
Insiden melucukan itu dirakam oleh sekumpulan individu di sebuah kabin di Carolina Utara, Amerika Syarikat pada hujung minggu lalu.
Klip video berdurasi 46 saat itu bermula dengan seekor beruang berwarna hitam berjalan menuju ke sebuah Mercedes-Benz berwarna perak. Jelas kedengaran suara seorang wanita bertanya adakah pintu kereta itu dikunci.
Beruang itu kemudian mendekati kereta, berdiri dengan dua kaki dan dengan selamba membuka pintu kereta. Apa yang melucukan ialah sebaik sahaja pintu dibuka, beruang itu kelihatan terpinga-pinga apabila mereka mula menjerit ke arahnya.
Selepas mengundur beberapa langkah, ia kemudian melarikan diri ke arah hutan berhampiran.
Setakat ini, video itu telah menerima 1.9 juta tanda ‘Love’ dan lebih 23,500 komen.