Buletin

PELUMBA SUPERBIKE BRITAIN, BEN GODFREY MAUT DI DONINGTON PARK

Pelumba Superbike dari Britain, Ben Godfrey maut ketika menyertai perlumbaan No Limits Trackdays di litar Leicestershire pada Ahad lalu.

Menurut kenyataan No Limits Trackdays di Instagram, ketika sesi kedua kumpulan advanced No Limits Trackdays di Donnington Park, Ben Godfrey telah bertembung dengan pelumba lain ketika menghampiri Redgate dan beliau terjatuh dari superbikenya.

Pelumba berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan serius akibat insiden tersebut dan mendapat bantuan perubatan di litar.

Bagaimanapun, tidak berapa lama kemudian, beliau disahkan meninggal dunia akibat kecederaan itu.

Dalam pada itu, Pengarah No Limits Trackdays, Mark Neate berkata “Saya sangat sedih Ben meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya. Beliau merupakan pemuda yang hebat dan kawan kepada ramai orang di paddock.

“Mendiang juga sentiasa melemparkan senyuman, malah tidak pernah berkira meluangkan masa bersama semua orang. Ben sangat teruja untuk memulakan musim baharu. Ingatan kami sentiasa bersama keluarga, teman beliau, Jordan, rakan pasukan dan kawan-kawannya,” kata Neate. – Sky Sport.

Google ads
Back to top button