PEMBELI KERETA DI CHINA LEBIH TERTARIK JENAMA TEMPATAN BERBANDING BARAT – TEKNOLOGI LEBIH BAIK, MAMPU MILIK
Selama bertahun-tahun, pengeluar kereta Jerman bergantung pada kejayaan di China untuk mencatat keuntungan besar dan memacu pertumbuhan.
Namun, zaman kegemilangan ini semakin pudar, dan jenama Barat kini bergelut untuk mengekalkan minat pembeli di samping berdepan dengan pengurangan bahagian pasaran serta ramalan jualan yang suram.
Angka jualan suku terakhir memberi gambaran yang tidak menguntungkan. Jualan BMW di China merosot sebanyak 30 peratus, Porsche jatuh 19 peratus, VW berkurangan 15 peratus, manakala penghantaran Mercedes menurun 13 peratus.
Ini bukan kerana pemandu China tidak mahu membeli kereta, tetapi mereka kini lebih cenderung untuk melaburkan wang mereka pada jenama tempatan, sarat dengan teknologi, serta lebih mampu milik.
Walaupun kereta Jerman masih menyumbang 15 peratus daripada jualan di China, bahagian pasaran mereka semakin berkurangan dengan pantas.
Sebelum pandemik, mereka menguasai 25 peratus daripada keseluruhan pasaran, menurut laporan Bloomberg.
Dalam segmen kenderaan elektrik (EV) pula, yang lebih besar di China berbanding di AS atau Eropah, VW, Porsche, BMW, dan Mercedes ketinggalan jauh. Walaupun semua empat jenama ini menawarkan model EV, ia hanya merangkumi 10 peratus daripada pasaran.
Mengapa perubahan ini berlaku? Pembeli China yang beralih daripada jenama Jerman berkata, kereta tempatan lebih berkualiti dan mempunyai lebih banyak ciri.
Selain itu, harganya juga jauh lebih murah, tetapi masih menawarkan prestasi yang setanding, malah dalam sesetengah kes lebih baik daripada model buatan Eropah.
Bersaing dengan jenama tempatan seperti BYD, Xpeng dan Nio adalah satu tugas yang tampak mustahil, tetapi jenama Jerman tiada pilihan lain.
Pasaran Eropah dan Amerika sudah mencapai kemuncaknya dari segi potensi pertumbuhan, dan sesetengah pengeluar telah melabur terlalu banyak dalam fasiliti pengeluaran di China – yang dibina di atas tanah milik kerajaan – menjadikan mereka sukar untuk keluar walaupun mereka mahu.
Jadi, apakah perancangan mereka? Pengeluar kereta Jerman kini menggandakan usaha mereka dengan membina hubungan kerjasama bersama syarikat-syarikat China yang boleh membantu mereka menghasilkan EV lebih baik, serta membangunkan produk khusus untuk pasaran China.
Adakah jenama Jerman mampu memulihkan kedudukan mereka, atau ini adalah permulaan kepada penghujung perjalanan mereka di China – dan mungkin di pasaran global juga?