Buletin

FORD MUSTANG – KERETA SPORTS COUPE TERLARIS DUNIA!

Jika ada satu tempoh gilang-gemilang untuk Ford Mustang, inilah masanya. Mustang adalah satu jenama yang ikonik, ia ibarat duta kepada Amerika Syarikat.

Keputusan Ford untuk memposisikan Mustang sebagai model global adalah suatu yang tepat apabila ia boleh dilihat di mana-mana sahaja.

Di Australia, Jepun, United Kingdom mahu pun di negara kita sendiri, Mustang ibarat trend untuk dimiliki orang muda dan berjiwa muda.

Ini bukan kenyataan kosong, permintaan pasaran global untuk Mustang telah menjadikan model ini sebagai kereta sport coupe paling laris di dunia. Bukan sekali tetapi sudah tiga tahun berturut-turut.

Ford memaklumkan jumlah pendaftaran Mustang di peringkat dunia ialah sebanyak 125,809 unit. Angka ini diperolehi melalui analisa data pendaftaran terkini kenderaan kecil IHS Markit.

Data ini dikompilasi dari sumber kerajaan dan lain-lain dengan rekod sebanyak 95 peratus dari jumlah kenderaan global baharu di lebih 80 buah negara. Data ini menunjukkan Mustang berjaya mendahuli model lain dalam segmen sama di peringkat dunia.

Dari 126,00 pendaftaran di peringkat dunia, pasaran utama model ini mestilah negara asalnya iaitu AS dengan 81,866 unit pendaftaran.  

Mengikut data dalaman syarikat, Mustang telah terjual sebanyak 13,100 unit di Eropah dan berjaya mendahului jualan Porsche 911 di 13 pasaran Eropah seperti United Kingdom dan Sepanyol.

Di peringkat Eropah dan pada tahun 2017 Mustang paling digemari di Jerman dengan jualan sebanyak 5,742 unit, UK sebanyak 2,211 unit, Perancis 942 unit, Belgium 900 unit dan Sweden 512 unit.

Demam Mustang turut melanda pasaran automotif terbesar dunia iaitu China dengan jualan sebanyak 7,125 unit menjadikan ia sebagai model sports coupe paling popular di sana.

Dari segi prestasi keseluruhan, sejak mula dieksport ke negara luar dari 2015 sehingga Disember 2017 jumlah jualan ialah sebanyak 418,000 unit. 

Varian paling popular bukan model 2.3 EcoBoost yang lebih mesra stesen minyak dan cukai jalan lebih rendah tetapi varian Mustang GT dengan enjin 5.0 liter V8. 

Selain itu, terdapat sebuah model istimewa iaitu Ford Mustang Bullitt yang dikeluarkan khusus sempena ulangtahun ke-50 filem tersebut.

Mustang Bullitt ini digerakkan oleh enjin 5.0 liter V8 yang telah diubah usai dan kini berkuasa 464 PS dan tork 529 Nm. Model ini turut dilengkapi teknologi baharu padanan kelajuan (rev match) dan efek blip enjin V8 semasa menganjak gear ke bawah.

Apa pun kat tempat kita Ford Mustang 5.0 liter memang tinggi harganya seperti yang boleh dilihat di laman web jualan automotif atau IG penjual kereta recond.

Walaupun model 2.3 liter lebih mesra poket dan cukai jalan pun tidak rabak tetapi sesaran kecil sebegitu barangkali tidak melambangkan identiti sebenar kereta AS.

Orang putih kata no displacement for replacement. Lagi satu, tak kan nak beli Mustang enjin lagi kecil daripada Nissan GT-R?

BACA: FORD RAPTOR SUDAH ADA PEMANDUAN SEBELAH KANAN – TAPI HARGANYA YA RABBI…

BACA: NAMPAK MACAM MUSTANG, TAPI SEBENARNYA..ERRR MAZDA MX5 MIATA?

Google ads
Back to top button