TRAK PIKAP MEWAH KINI DALAM PERTIMBANGAN BMW – RASA-RASA LAKU KERAS TAK NI?
BMW baharu sahaja perkenalkan 5 Series terbaru mereka di Itali minggu ini. Memasuki generasi ke lapan, 5 Series ini sebenarnya sudah mempunyai sejarah selama 50 tahun dan kali ini ia turut ditawarkan dalam versi elektrik sepenuhnya. Selain dari 3 Series dan 5 Series yang menjadi model terlaris mereka, BMW tak nak ke teroka segmen baharu?
Menariknya ketika ditanya soalan tersebut, ketua pereka BMW Design, Domagoj Dukej berkata yang mereka turut menerima cadangan tentang beberapa segmen baharu dan antara yang paling menarik ialah, trak pikap.
Beliau kerap dilontarkan pertanyaan tentang bilakah BMW akan mengeluarkan trak pikap. Cuma satu saja masalahnya dengan segmen trak pikap premium ni, Mercedes pernah cuba menerokanya tetapi berakhir dengan kegagalan.
Cubaan Mercedes dengan trak pikap premium mereka yang dinamakan X-Class tidak membuahkan hasil yang diinginkan. Trak pikap tersebut yang diproduksi menggunakan platform Nissan cuma gempak pada peringkat awal dan akhirnya Mercedes membuat keputusan untuk menghentikan pengeluarannya.
BMW pada peringkat awalnya merasakan penghasilan trak pikap hanya sesuai untuk lokasi-lokasi tertentu sahaja di dunia ini tapi rasanya fakta tu dah tak berapa boleh pakai. Tengoklah Ranger Raptor yang boleh dikatakan agak mahal tu. Kini dah berderet nampak kat jalan raya Malaysia.
Sebelum ini mereka memang menyangka yang pasaran trak pikap mewah hanya sesuai utnuk pasaran Amerika Syarikat sahaja tapi kini dunia semakin berubah. Mungkin inilah masa yang tepat untuk mereka melabur dalam pasaran trak pikap.
Spekulasi tersebar kononnya selepas bekerjasama dengan Toyota untuk menghasilkan Z4 dan Supra, BMW mungkin akan mengeluarkan trak pikap menggunakan platform TNGA-F. Namun BMW menjelaskan yang teknologi rebadge bukan satu pilihan buat mereka.
Jika dihasilkan mereka mahukan sebuah trak pikap yang mempunyai pemanduan seperti sebuah BMW. Pengalaman Mercedes bersama X-Class wajar diambil kira kerana ia menerima kritikan hebat daripada sesiapa yang pernah memandunya. Kesian.
Jadi kalau dihasilkan adalah abang-abang MLM akan mempunyai senjata baharu selepas ini?