PENDAFTARAN TOYOTA GAZOO RACING GT CUP MALAYSIA KINI DIBUKA – TAWAR HADIAH SEBANYAK RM120K
Pendaftaran untuk bersaing dalam siri perlumbaan dalam talian paling lumayan di Malaysia, Toyota Gazoo Racing GT Cup Malaysia, kini dibuka.
Finalis Toyota GR Velocity eSports Championship tahun ini bakal membawa pulang hadiah lumayan iaitu sebanyak RM120,500.
Dengan purata 1,000 peserta setiap musim, Peringkat Kelayakan yang bermula pada 22 Jun 2024 akan menyaring persaingan kepada 40 pelumba simulator terpantas Malaysia.
Grand Final akan diadakan dari 27-28 Julai di Universiti Sunway, menyaksikan 20 pelumba teratas dalam Suku Akhir secara automatik mara ke Separuh Akhir untuk menentukan sepuluh pelumba terpantas.
Sebagai satu-satunya siri perlumbaan dalam talian yang disokong oleh pembuat kereta sejak 2018, Toyota GR GT Cup Malaysia menarik lebih daripada tiga juta penonton dalam talian.
Tahun lalu, Taj lzrin Aiman Taj Madira memenangi gelaran ketiga keseluruhan untuk menjadi pelumba Toyota GR GT Cup Malaysia yang paling berjaya sejak acara ini diperkenalkan.
Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Dhanesh Wigneswaran dan Chong Kai Chang.
Ketiga-tiga pelumba ini mewakili Malaysia dalam Toyota GR GT Cup Asia dan dinobatkan sebagai naib juara dalam kategori pasukan.
Pemenang tiga teratas tahun ini juga akan mewakili Malaysia dalam pertandingan peringkat serantau serta berpeluang bersaing di World Finals.
Musim ke-7 juga akan menyaksikan trak bergerak TOYOTA GAZOO Racing kembali untuk singgah di lapan universiti di Semenanjung Malaysia – Universiti Sunway, UiTM Pasir Gudang, MMU Cyberjaya, UNITAR, UiTM Shah Alam, UKM Bangi, IIUM Gombak dan USM Nibong Tebal.
GR Tour, yang diadakan buat pertama kali tahun lalu, membawa pengalaman perlumbaan simulasi kepada pelajar universiti dan mengenal pasti bakat pelumba berpotensi.
Bukan itu sahaja, 10 pelumba universiti terbaik dari jelajah ini juga bakal bersaing dalam Grand Final siri Toyota GR GT Cup Malaysia tahun ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web UMW Toyota Motor (Malaysia) Sdn Bhd di www.toyota.com.my/qtcupmalaysia