Buletin

PENEMUAN TERBARU – BINA TAYAR KENDERAAN DARIPADA SISA MAKANAN

Tayar merupakan antara komponen yang cukup penting bagi sebuah kenderaan baik kereta, motosikal, lori dan sebagainya. Pertambahan jumlah kenderaan di atas jalan raya membuatkan permintaan terhadap industri pembuatan tayar menjadi semakin berkembang.

Jika suatu ketika dahulu kita cuma kenal tayar keluaran Dunlop dan Goodyear, kini sudah muncul pelbagai jenis tayar baik yang diimport mahupun keluaran tempatan. Namanya pula bermacam-macam, ada Ling Long, Ting Tong, Pon Pon dan macam-macam lagi.

Seperti yang kita tahu, bahan asas membuat tayar ialah getah. Alternatif baharu harus dicari untuk memajukan lagi teknologi pembuatan tayar agar kesan pencemaran terhadap alam sekitar boleh dikurangkan.

Pembuatan tayar sebenarnya satu industri yang kotor. Bukan sebab rasuah tetapi berkaitan dengan material yang digunakan dalam pembuatan tayar itu sendiri. Hampir tiga puluh peratus daripada bahan yang digunakan untuk membuat tayar kereta anda sebenarnya ialah sebatian yang dipanggil karbon hitam.

Ia membantu menjadikan getah tayar menjadi lebih tahan lasak dan memberikannya warna hitam. Ia dihasilkan sewaktu dalam proses pembakaran hidrokarbon yang tidak sempurna (salah satu produk petroleum).

Penghasilan karbon hitam ini sebenarnya menjejaskan alam sekitar namun permintaan untuknya menjadi semakin meningkat dengan perkembangan industri pembuatan tayar.

Namun terbaru, sekumpulan penyelidik dari Ohio State University (OSU) telah mendakwa berjaya menemui bahan alternatif yang boleh menggantikan karbon hitam. Menariknya ia dikatakan terdapat di dalam karung sampah di setiap rumah kediaman.

Sisa makanan, khususnya kulit telur dan kulit tomato dikatakan sangat sesuai digunakan bagi menggantikan karbon hitam. Demikian dakwaan sekumpulan saintis dari OSU. Sebagai tambahan, menurut mereka, ia bukan hanya lebih mesra alam sekitar dan boleh didapati di dalam negara.

Tiada lagi keperluan untuk mengimport material dari luar negeri seperti dalam kes karbon hitam. Malah ia juga akan mengurangkan timbunan bahan terbuang dengan proses kitar semula.

Kulit telur dan buah tomato mempunyai beberapa kelebihan bila diadunkan dalam pembuatan tayar kenderaan. Kulit tomato memberikan kestabilan pada suhu tinggi manakala struktur kulit telur yang dihancurkan mampu diadun dengan baik bersama getah. Kesemua bahan baharu dan lama ini mampu berfungsi sama seperti karbon hitam sebelum ini malah lebih bersih.

Antara kelebihan menggunakan material-material baharu ini ialah dalam penghasilan efek sinergi. Dengan kata lain ia membolehkan getah yang kuat menganjal dengan lebih baik. Hasilnya ialah tayar yang berwarna lebih cerah berbanding warna hitam asal. Bagaimanapun pasukan penyelidik dari OSU masih mencari jalan untuk memanipulasi warna pada tayar baharu ini. Tak sanggup jugak rasanya kalau kena bawa kereta dengan tayar berwarna kuning telur Omega-3.

Dalam masa yang sama, karbon hitam yang diasaskan daripada produk petroleum juga dikatakan bakal menyusut dari segi kuantiti. Kulit telur dan tomato pula bukan hanya tidak menyusut bahkan bertambah tahun demi tahun. Di Amerika Syarikat sahaja dikatakan hampir 100 billion biji telur digunakan sepanjang tahun dengan semua kulitnya dibuang begitu sahaja. Separuh daripada jumlah itu digunakan oleh kilang-kilang yang menghasilkan produk pemakanan sekaligus memudahkan tugas untuk mengumpulnya.

Teknologi baru dalam pembuatan tayar berasaskan sisa buangan ini bagaimanapun telah dipaten dan dilesenkan kepada syarikat yang dinamakan EnergyEne, yang dimiliki oleh Professor Katrina Cornish dari OSU (macam syarikat kroni la pulak kan?) untuk proses penyelidikan yang lebih lanjut.

BACA: CONTINENTAL MENANGI ANUGERAH PEMBUAT TAYAR

BACA: TEKNIK PENJAGAAN TAYAR YANG BETUL

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button