Pandu Uji

TUNGGANG UJI: SYM SPORT RIDER 125i

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jenama SYM sudah mula mempelbagaikan pasarannya. Satu ketika dahulu, apabila sebut sahaj nama SYM, semua orang membayangkan skuter VTS 200cc dan Symphony Evo 250cc.

“SYM adalah skuter besar”, kata seorang jiran saya.

MFORCE BIKE HOLDINGS, pengedar jenama SYM di Malaysia sebenarnya turut membawa masuk motosikal dari kategori lain. Mereka ada skuter kecil – Jet Power dan Attila, kapcai Bonus 110 dan 115 serta street bike T2. Mungkin ia kurang dikenali kecuali model Sym Bonus yang semakin popular sejak kebelakangan ini.

Dilancarkan pada Ogos lalu, ini adalah model terbaru dalam rangkaian underbone iaitu Sport Rider 125i. Ia merupakan motosikal 125 cc pertama SYM dengan teknologi suntikan bahanapi dan Malaysia merupakan negara pertama di dunia yang melancarkan rekaan baru ini bagi menyediakan pengalaman “super extreme” kepada para penunggang.

Kapcai ini didatangkan dengan rekabentuk moden yang menarik yang merangkumi beberapa elemen rekaan superbike termasuk rangka tiub seumpama naked bike di sisi, peredam dan fender yang sporty di belakang, bentuk unik dan aerodinamik.

Motosikal ini dilengkapi dengan enjin 1 selinder SOHC dua valve yang menghasilkan 9.5 kuasa kuda pada 8,000 rpm dan 1.10kg daya kilas pada 5,500rpm. Ia salah satu motosikal tempatan yang memenuhi piawaian Euro 3.

Pengendalian motosikal ini ditampung oleh sistem konvensional suspensi berkembar di belakang. Ketika menunggangnya sendirian, motosikal ini terasa agak “keras”, namun bila membawa pembonceng, ia terasa lebih stabil dan lembut.

Pelananya agak tinggi untuk standard sebuah kapcai dan untuk membiasakan diri mengambil masa kerana saya biasa menuggang LC 135 dengan pelana lebar dan rendah. Tapi satu yang bagus tentang 125i ini pelananya tebal dan empuk – selesa untuk perjalanan jauh.

Dari segi kosmetik, penggayaan rekabentuk dan paparan meter dengan format kelajuan digital adalah pertama dalam kelasnya. Fungsi ini hanya ditawarkan pada “super cub” seperti Y15ZR, Belang dan RS150R.

Berat bersih keseluruhan motosikal ini ialah 107 kilogram sementara tangkinya berkapasiti 4.2 liter. Purata perjalanan yang saya catat ialah sekitar 150km untuk setangki petrol, sungguh menjimatkan. Terima kasih pada sistem suntikan yang memastikan konsumsi petrol pada tahap yang memuaskan.

Pengendalian dan kuasa membrek agak bagus dengan pemadanan brek cakera dengan angkup berkembar pada roda hadapan. Rekabentuk rim aloi tempa itu juga jauh lebih menarik dari kebanyakan motosikal yang lebih mahal.

SYM Sports Rider 125i dijual pada harga RM5,450 (tidak termasuk GST) iaitu harga paling mampu berdaya saing dalam pasaran motosikal 125cc . Terdapat tiga pilihan warna menarik iaitu merah, biru dan kuning dan mula diedarkan bermula September 2016.

SYM turut memberi jaminan pengeluar selama 3 tahun atau 30,000 km, termasuk 1 tahun atau 10,000km jaminan enjin.

BACA: TUNGGANG UJI HONDA RS150R

BACA:TUNGGANG UJI SKUTER KAWASAKI J300

 

 

 

 

Google ads
Back to top button