Buletin

PENEROKA LAUT DALAM JUMPA TITANIC DIHALANG CARI MH370

Peneroka laut dalam terkenal yang menemukan kapal Titanic mendedahkan dirinya dihalang daripada menyertai misi pencarian pesawat MH370 milik Malaysia Airlines.

Menurut laporan Daily Star, Bob Ballard menawarkan diri untuk membantu mencari pesawat yang hilang sejak tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, dia berkata, usaha itu dihalang pihak berkuasa yang mengetuai penyiasatan terbabit.

“Saya adalah orang pertama yang menghubungi Australia yang mengetuai pencarian di sana.

“Biarpun, tidak mahu menggunakan aset dimiliki saya tetapi saya tahu bagaimana hendak mencari pesawat yang hilang.

“Saya masih berharap dapat menemukan pesawat itu. Malah, saya berasa sangat gembira untuk menyumbangkan kepakaran, tetapi mereka tetap tidak mengizinkan,” katanya kepada National Geographic.

Pesawat MH370 melakukan perjalanan ke Beijing, China sebelum terputus komunikasi dengan menara kawalan trafik udara.

Menurut Ballard, penggunaan teknologi baharu dapat meningkatkan peluang pencarian kapal terbang yang membawa 227 penumpang dan 12 kru kabin.

Jelasnya, kemunculan kenderaan autonomi dapat digunakan untuk menjelajah dasar laut yang luas.

Dia kini merancang melancarkan pencarian kedua pesawat perintis Amerika Syarikat, Amelia Earhart yang hilang di Lautan Pasifik sejak 1937.

Walaupun percubaan pertama Ballard pada 2019 gagal, namun, ia tetap memberikan peluang kepada dirinya mencuba teknologi terkini semasa pencarian. –DailyStar

Google ads
Back to top button