PROTON HARAP KERAJAAN PERTIMBANG LANJUTKAN SST
PROTON berharap pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berakhir pada 30 Jun, 2022 dapat dilanjutkan pihak kerajaan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON, Roslan Abdullah berkata, Proton yang merupakan sebahagian anggota Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berharap kerajaan akan menimbang untuk melanjutkannya lagi bagi memastikan kemajuan industri automotif dan merancakkan ekonomi domestik.
“Kami berharap ia dapat dilanjutkan memandangkan tempahan tertunggak yang tinggi dan pengeluaran barangan asal (OEM) yang masih tidak dapat kami serahkan sebelum 30 Jun ini.
“Ini berikutan masih ada vendor-vendor yang terjejas ekoran insiden banjir pada Disember lepas selain masalah seperti kekurangan komponen lain seperti cip elektronik bagi kegunaan automotif,” jelasnya.
Akibat masalah tersebut, beliau berkata tempoh menunggu bagi pembeli untuk mendapatkan kereta yang telah ditempah mengambil masa antara tiga ke enam bulan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu tidak akan memberi impak yang ketara kepada penjualan kereta PROTON.
Roslan berkata walaupun kenaikan tersebut akan memberi kesan terhadap proses sewa beli kepada pembeli, namun melihat kepada situasi semasa serta kemampuan ekonomi yang semakin berkembang, pembelian kereta khususnya yang mampu milik adalah satu keperluan kepada pengguna.
“Apabila pemilik memikirkan ini sebagai satu keperluan, kos tersebut dilihat sebahagian kos yang perlu untuk membeli kereta,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Dr Li Chunrong dalam ucapan pelancaran PROTON Saga 2022 berkata meskipun pandemik COVID-19 berlarutan lebih dari dua tahun, Proton terus maju dan membangun dengan progresif, mencapai peralihan lancar dan meningkatkan pengeluaran untuk mengubah kerugian sebanyak RM1.6 bilion yang dicatatnya empat tahun lalu menjadi keuntungan pada hari ini.
Beliau berkata, jualan meningkat daripada 64,744 unit pada 2018 kepada 114,708 unit pada 2021 dan bahagian pasarannya berkembang daripada 10.8 peratus kepada 22.5 peratus pada akhir tahun lepas.
Sepanjang tempoh empat tahun lepas, Li berkata Proton telah melabur sebanyak RM1.8 bilion bagi kilangnya di Tanjung Malim, menjadikannya fasiliti bertaraf dunia yang dilengkapi dengan teknologi paling canggih untuk menampung pengeluaran kenderaan tenaga baharu pada masa depan.
Pada 2021, Proton telah mempermudahkan perkongsian strategik antara vendor luar negara dan syarikat tempatan yang bernilai sehingga RM300 juta, termasuk pengenalan 10 teknologi baharu daripada 34 perkongsian vendor. – Bernama