
PENGELUARAN TOYOTA SUPRA AKAN TAMAT PADA 2026
Berdasarkan satu laporan tidak rasmi, Toyota bakal menamatkan pengeluaran Supra pada tahun 2026 selepas 7 tahun dikeluarkan. Laporan ini juga menyebut bahawa Supra dan kembarnya iaitu BMW Z4 bakal ditamatkan tanpa sebarang model pengganti.
Selain daripda Supra, BMW Z4 juga telah menerima transmisi manual dalam usaha untuk memanjangkan jangkahayat model ini selain menaikkan jumlah jualan. Namun kedua dua model yang dihasilkan di Magna Steyr ini gagal dijual dalam jumlah yang besar menyebabkan BMW dan Toyota terpaksa menghentikan pengeluaran pada 2026 nanti
Toyota juga tidak memberikan sebarang perancangan jelas bagi menggantikan model Supra memandangkan Supra dihasilkan dengan menggunakan Cluster Architecture Platform BMW, enjin dan komponen gear dari pembekal yang sama dalam usaha mengurangkan kos pembangunan
Apatah lagi jualan Supra pada tahun 2023 telah merosot hampir 46% berbanding dengan jualan pada tahun 2022. Supra merupakan idea daripada Akio Toyoda selaku CEO Toyota pada ketika itu, dan apabila Akio tidak lagi memegang jawatan CEO masa depan Supra adalah samar.
Malah adalah mustahil untuk Toyota menghasilkan Supra dengan kos pembangunan yang besar bersendirian dengan jualan yang sangat rendah. Sebagai rekod, Toyota menjual sebanyak 24,022 unit Supra di Amerika semenjak tahun 2019 berbanding dengan 30,323 unit Camry pada bulan Mac 2024 sahaja.
Malah usaha Toyota dengan memperkenalkan varian manual juga gagal melonjakkan jualan Supra pada tahap yang memuaskan selepas mengeluarkan banyak duit untuk pelaburan. Sekiranya BMW tidak lagi berminat untuk menghasilkan Z4, maka Toyota perlu mencari rakan kongsi yang baru

