Artikel PilihanBuletin

PENUTUPAN KILANG HONDA DAN KETUANAN YANG TAK MEMBERI HASIL

Berita mengenai penutupan kilang Honda di Swindon, United Kingdom minggu lepas mengejutkan industri automotif. Di saat-saat akhir UK keluar dari kesatuan EU yang disebut BREXIT akan berkuatkuasa akhir bulan ini, ia seakan kesan langsung terhadap industri automotif Britain.

Perkara ini bukan sahaja merunsingkan pemain industri semata-mata, malah ia turut menjejaskan ekonomi UK secara secara keseluruhan. Penutupan kilang Honda pada 2021 akan menyebabkan 3,500 kakitangannya hilang pekerjaan.

Namun, bukan itu sahaja yang merisaukan. Masalah ini melibatkan rantaian industri yang terlibat secara langsung dengan pengeluaran kenderaan Honda yang menyumbang 10 peratus kepada pengeluaran industri automotif UK.

MANGSA PERTAMA – PEMBEKAL

Menurut Financial Times, kesan penutupan ini sebenarnya lebih dirasai oleh pembekal. Dari sekecil-kecil pengeluar skru, pembekal tayar dan juga panel badan.

Menurut John Nollett, CEO Pressmark Pressing, salah satu syarikat pembekal panel badan terbesar UK, ia adalah “bencana” terbesar syarikat mereka yang bergantung hampir 1/5 perniagaan mereka dengan Honda.

“Kami tak nampak rangkaian bekalan ini akan bertahan. Melainkan ada industri baru yang masuk, kami tak yakin boleh bertahan,” ujar Nollett.

Sesetengah syarikat Britain bergantung hampir 40 peratus perniagaan mereka dengan Honda dan walaupun Honda menafikan penutupan kilang ini berkaitan dengan Brexit, namun masa pengumumannya agak mencurigakan.

Pemerhati industri melihat ia bukan kesan langsung Brexit tetapi persediaan Honda yang melihat kesukaran perniagaan selepas Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU)

APA JADI SETERUSNYA?

Kita tahu bahawa BREXIT adalah tentang ketuanan rakyat Britain. Mereka mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah kerana merasakan penduduk asal UK tidak mendapat peluang yang adil.

Khususnya dari aspek peluang pekerjaan, percukaian serta pengeluaran barang-barang tempatan. Mereka mempunyai nilai mata wang yang tinggi tetapi terpaksa “berkongsi” nikmat ekonomi dengan Kesatuan Eropah, khususnya imigran yang didakwa “membolot” kekayaan tempatan.

Ini termasuklah keterbukaan ekonomi yang menyebabkan produk automotif tempatan terpaksa bersaing terus dengan EU. Malah apa yang dilihat sebagai Ketuanan ini sebenarnya bakal memberi kesan buruk pada rantaian industri.

Sehingga ke hari ini, tinggal kurang sebulan dari tarikh akhir BREXIT, industri di UK masih belum mendapat transisi jelas mengenai sistem percukaian baru, polisi pekerjaan, tarif import dan sudah tentu syarikat yang bergantung dengan jaringan pembekal sekitar Eropah bakal berdepan masalah. Jaguar, BMW, Rolls Royce sudah menyuarakan kebimbangan mereka jauh lebih awal.

Akhirnya, majoriti rakyat Britain akan mendapat apa yang mereka mahukan, Ketuanan negara.

Dan jika produknya ialah susu lembu atau Ribena, mungkin kesannya mudah. Tapi bagaimana dengan industri kenderaan?

Adakah rakyat Britain akan membeli jenama-jenama seperti.. err
British Leyland? Austin Maxi?

Kita tak akan tahu, hanya masa yang akan memberitahu.

Tags
Google ads
Back to top button