Buletin

PERKENAL PROJEK KERETA NASIONAL, EV INI BAKAL SUMBANG RM206 BILION KEPADA EKONOMI TURKI

Turki baru-baru ini memperkenalkan kereta elektrik pertamanya yang melibatkan pelaburan berjumlah RM15.27 bilion. 

Ia dihasilkan oleh Türkiye’nin Otomobili Girişim Grubu/Turkey’s Automobile Joint Venture Group (TOGG) yang terdiri daripada lima buah syarikat.

TOGG dilapor akan membina sebuah kilang di Bursa dengan sasaran mahu menghasilkan lima model kenderaan menjelang tahun 2030  dan kapasiti pengeluaran 175,000 unit setahun. 

Projek kereta nasional itu dijangka menyumbang sebanyak RM206.36 bilion kepada  ekonomi Turki dalam tempoh 15 tahun.

Pelaburan tersebut bakal menikmai potongan cukai komprehensif,  peruntukan tanah percuma, pengurangan kadar cukai dan jaminan pembelian 30,000 unit kenderaan daripada kerajaan sehingga tahun 2035.  

Pengenalan kereta elektrik itu dilakukan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. Pada tahun 2011, Erdogan menggesa syarikat tempatan untuk bekerjasama dan melabur dalam projek kereta nasional. Untuk makluman, Turki merupakan pasaran automotif ke-9 terbesar di Eropah.   

Antara model pertama yang akan diperkenalkan ialah sebuah SUV segmen C dan sedan kompak yang direka bentuk oleh Pininfarina.

Bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun 2022, SUV yang masih belum mempunyai nama itu mengunakan 100 peratus teknologi rangkaian kuasa (pek bateri serta motor elektrik) dan platform buatan konglomerat Turki. 

“Kami tidak membeli lesen daripada sesiapa. Kami jua menentukan semua ciri teknial kenderaan ini sendiri.

“Turki bukan sekadar pasaran untuk teknologi baharu, tetapi sebuah negara yang membangun, menghasil dan mengeksportnya ke seluruh dunia,” jelas Erdogan, 

Jentera itu diinspirasikan oleh bunga tulip yang menjadi sebahagian daripada budaya Turki. Ia dapat dilihat dengan jelas pada rekaan gril hadapan dan rim. SUV tersebut akan ditawarkan dalam dua pilihan pek bateri iaitu jarak perjalanan sejauh 300km dan 483km dengan sekali caj penuh. 

Teknologi temaju rangkaian kuasa membolehkan bateri dicaj sehingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.

Bagi memberi lebih pilihan kepada pengguna, SUV itu didatangkan dengan pacuan roda belakang dan semua roda.  Versi AWD dibekalkan dengan dua unit motor elektrik berkuasa 400hp. Manakala varian 2WD pula menggunakan motor elektrik berkuasa 200hp. 

Hasilnya, ia mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.8 saat dan 7.6 saat sahaja. Aspek pengendalian diserahkan kepada suspensi bebas topang MacPherson pada gandar hadapan dan jenis integral link di belakang.  

SUV itu juga dilengkapi keupayaan pemanduan berautonomi Tahap 2+ menerusi sistem bantuan pemandu Slow Traffic Alert. Bukan itu sahaja, ia dipasang dengan pelbagai teknologi inovatif seperti sistem aumented reality dan pengimejan holografik 3D untuk memparkan maklumat penting kepada pemandu. 

Seperti EV yang lain, ruang kabin SUV itu tampil canggih dengan skrin paparan digital yang besar pada papan pemuka dan konsol tengah. Skrin sentuh tersebut mengurangkan jumlah butang kawalan dan membolehkan penggunaan ciri arahan suara.   

Pengenalan SUV dan sedan elektrik itu sebenarnya menjadi usaha kedua Turki untuk menghasilkan kereta sendiri.

Cubaan pertama melibatkan kereta diberi nama Devrim pada tahun 1961, tetapi ia hanya sempat sampai ke peringkat prototaip sahaja. 

GALERI

Google ads
Back to top button