
TOYOTA RAIZE LAKU TAPI BANYAK JUGA YANG DIJUAL SEMULA RUPANYA…
Masih ingat dengan laporan permintaan tinggi Toyota Raize a.k.a Perodua SUV di Jepun pada awal bulan ini?.
Ya. 32,000 unit terjual dalam masa sebulan selepas dilancarkan merupakan pencapaian luarbiasa bagi industri automotif Jepun namun itulah realiti yang berlaku pada model kompak SUV terbaru yang turut dijenamakan sebagai Daihatsu Rockey.
Tapi nanti dulu. laku? laris bak goreng pisang panas?
Kita lihat di sisi lainnya. Lebih menariknya, meskipun baru beberapa bulan di pasaran, Raize ini sudah dilambakkan dengan versi terpakai. Nampaknya beratus unit sudah diiklankan untuk dijual dalam pasaran dalam talian di Jepun.
Jika dilihat pada data penjualan semula pada pada pertengahan bulan ini, pada 15 Disember sahaja sebanyak 32 unit diiklankan untuk dijual.
Jadi apa masalahnya?
Adakah power windownya rosak? tak laju? terlalu kuat makan minyak?
Tidak tuan-tuan.
Ia disebabkan permintaan tinggi yang turut melanda pasaran kereta terpakai. Disebabkan pasaran untuk model baru model ini tinggi dan menyebabkan pembeli terpaksa menunggu lama, maka muncullah perniagaan manipulasi semula model ini.
Apa yang lebih menarik ialah harga pasaran terpakainya juga tidak murah langsung. Dari yang boleh diperhatikan, ia dijual pada tangga 2.4 juta Yen hingga 3 juta Yen. Padahal harga baru Raize yang diiklankan Toyota Jepun paling mahal pun 2.4 Juta Yen.

Menurut data terkini, varian Raize versi turbo spesifikasi tertinggi merupakan model yang paling lama dalam senarai menunggu iaitu sekitar tiga bulan jika ditempah.
Menurut Toyota, antara faktor yang menarik minat pembeli Raize ialah rekabentuknya yang kompak tapi ruang dalamannya cukup besar.
Crossover kecil ini dibina di atas platform Daihatsu New Global Architechture (DNGA). Ia lebih kecil dari C-HR dengan ukuran 3,995mm panjang, 1,695mm lebar dan 1,620mm tinggi.
Walaupun lebih kecil, ia menawarkan kapasiti bagasi dan bahagian dalaman yang luas. Ruang bagasinya menampung 369 liter malah ruang kelegaan kepala, kaki dan bahu juga agak bagus untuk sebuah SUV kelas A begini.
Tarikan lain ialah ciri-ciri keselamatan yang dipasangkan padanya. Antaranya ialah Smart Assist System, Panoramic parking assistance, forward vehicle / pedestrian detection warning, accidental accelerator pedal warning, lane departure warning, dan pelbagai lagi. Pendek kata, ia sebuah kereta kecil yang sarat dengan teknologi “mahal”.
Raize di kuasakan oleh unit enjin baru tiga selinder 1.0 liter dengan pengecas turbo. Ia digandingkan dengan transmisi D-CVT (Dual mode Continuously Variable Transmission) menjadikan ia kereta Toyota pertama yang menggunakan kotak gear Daihatsu yang menggunakan talisawat dan gerigi gear serentak pada kelajuan tinggi untuk ekonomikal bahanapi lebih baik.
Enjin ini menghasilkan 97 kuasa kuda pada 6,000 rpm dan 140 Nm tork pada 2,400rpm.
Purata penggunaan bahanapi ialah 18.6 km/l dalam ujian WLTC untuk model pacuan dua roda. Bagi versi 4WD pula, purata penggunaan bahanapi ialah 17.4 km/l. Sistem 4WD Raize dikenali sebagai Dynamic Torque Control 4WD
GALERI