Buletin

REMAJA LELAKI BAKAR LEBIH 100 BUAH KERETA DI SWEDEN

Ketenangan pinggir bandar Gothenburg, Sweden tercemar pada malam Isnin lalu apabila lebih 100 buah kenderan dibakar oleh sekumpulan remaja lelaki.

Polis percaya bahawa insiden itu dilakukan secara terancang menggunakan media sosial. Kebakaran bermula pada pukul 9.00 malam di Vastra Frolunda dengan 33 buah kenderaan, sebelum 50 buah lagi kereta menerima nasib sama.

Tidak lama kemudian, serangan berlaku di daerah Hjallbo dan Kronogaeden di Trollhattan.

Sisatan polis membawa kepada penahanan tiga remaja lelaki berusia 16 hingga 31 tahun. Manakala seorang lagi suspek ditahan ketika cuba untuk melarikan diri ke Turki.

Polis mengklasifikasikan serangan ini sebagai jenayah bakar, vandalisme, merusuh dan mencetuskan keganasan.

“Kami telah menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas jenayah vandalisme. Kami juga akan mencadangkan hukuman terhadap serangan ke atas polis berikutan kejadian ini,” kata Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven. 

Kejadian itu didakwa melibatkan ramai suspek kerana salah seorang saksi memberitahu dia terdengar jeritan dan bunyi seperti mercun dibakar dari pangsapurinya. Apabila menjenguk dari tingkap, dia nampak enam hingga lapan orang berpakaian hitam melempar botol Molotov koktel ke dalam kereta yang diparkir.

Menurut laporan BBC, kumpulan itu dilihat lebih ganas di lokasi-lokasi lain, di mana remaja lelaki terbabit melontar batu ke arah polis apabila mereka datang ke tempat kejadian untuk membuat siasatan.

Kejadian ini dilihat menjadi satu isu politik menjelang pilihanraya umum Sweden tidak lama lagi. Secara umumnya, masalah perubatan, penjagaan kesihatan, sekolah, pendidikan, integrasi pendatang, alam sekitar dan warga emas menjadi keutamaan warga Sweden.

Kejadian membakar kenderaan bukanlah sesuatu yang baru di negara Scandinavia itu. Masalah itu dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Secara purata, empat insiden berlaku setiap hari di Sweden.

Pada musim panas tahun 2016, lebih 70 buah kenderaan dibakar dalam masa beberapa minggu.

Tags
Google ads
Back to top button