Buletin

PERLUMBAAN DRAG HINGGA SEBABKAN MAUT TIADA KELULUSAN

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengesahkan Perlumbaan Drag Bike National ET Record Championship 2023 Road Tour 2023 yang menyebabkan kematian seorang pelumba di litar Pekan, Pahang tidak mendapatkan kelulusan.

MAM dalam satu kenyataan menjelaskan, pihaknya berdukacita di atas berita pemergian Allahyarham Hattem Rashdi yang terlibat dalam insiden kemalangan sewaktu menyertai perlumbaan drag tersebut dan disahkan meninggal dunia kelmarin.

“Pihak MAM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah. Untuk makluman semua, Acara Bike National ET Record Championship 2023 ini tidak diluluskan dan diiktiraf ‘sanctioned’ oleh pihak MAM. 

“Seperti mana semua sedia maklum, sukan permotoran merupakan suatu sukan yang berbahaya. Oleh yang demikian, mana-mana pihak yang ingin menyertai sukan permotoran baik selaku penganjur, pemilik litar atau pelumba berkewajipan untuk mematuhi segala peraturan mahupun protokal ketat yang telah ditetapkan.

“Peraturan itu dibuat demi memastikan tahap keselamatan tertinggi, meningkatkan persaingan dan akhirnya memberi peluang kepada pelumba dan penonton untuk menikmati acara perlumbaan tersebut,” kata MAM dalam satu kenyataan hari ini.

MAM menjelaskan, perlumbaan yang diiktiraf ‘sanctioned events’ oleh MAM mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak Persekutuan Automobile Antarabangsa (FIA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) berkaitan dengan penganjur, kemudahan, peserta dan kenderaan. 

“Acara-acara sukan permotoran perlu dikawalselia atau diiktiraf akan memberi parameter yang jelas kepada penganjur dan peserta-peserta mengenai persekitaran perlumbaan selamat, penglibatan marsyal serta pegawai-pegawai perlumbaan berkelayakan dan berpengalaman.

“Selain itu, persediaan litar yang merangkumi aspek keselamatan, pasukan perubatan dan perlindungan insuran kepada penonton, pelumba, pegawai serta penganjur. 

“Oleh demikian, penganjur-penganjur amat digalakkan untuk memastikan acara-acara mereka diluluskan serta dikawal-selia ‘sanctioned’ dengan bekerjasama dengan pihak MAM.

“Meskipun demikian, kelulusan dan kawal selia mana-mana acara adalah tertakluk kepada peraturan dan kaedah-kaedah pihak FIA, FIM serta peraturan Pertandingan Kebangsaan (NCR), yang dikenakan, dipantau dan harus dipatuhi tanpa kompromi.

“Pihak MAM ingin menegaskan, MAM tidak menyokong acara yang tidak diiktiraf di mana keselamatan pegawai, pelumba, penonton dan penganjur amat penting serta untuk memastikan setiap penganjuran dijalankan dengan mengikut aspek-aspek keselamatan yang telah ditetapkan. 

“Selain itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan MAM telah mengadakan perbincangan bagi kemaskini pentadbiran dan undang-undang acara sukan permotoran dengan lebih teratur.

“Pihak MAM amat berharap agar semua pihak-pihak berkenaan dapat memberi kerjasama untuk memastikan bahawa penganjuran tidak diiktiraf seperti ini dapat dihalang demi mengelakkan kejadian sedemikian berulang.” – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button