Buletin

KEMALANGAN MAUT, PEMANDU TRELER MILIKI 13 SAMAN TRAFIK SEJAK 2010

Pemandu treler muatan simen yang maut selepas dipercayai menyebabkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 317.4 Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) arah utara, di dapati mempunyai sebanyak 13 saman trafik terkumpul sejak tahun 2010.

Dalam kejadian terbabit, selain pemandu treler, 31, seorang lagi mangsa maut iaitu pemandu lori muatan tembikai berusia 67 tahun.

Sementara, mangsa merupakan wanita, pemandu empat roda hanya mengalami cedera ringan di bahagian muka telah dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kemalangan berkenaan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Chenderiang, Tapah, menyebabkan dua pemandu lelaki berumur 31 dan 67 tahun maut di tempat kejadian.

“Siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati kejadian terbabit dipercayai berlaku selepas sebuah treler muatan simen dipandu oleh seorang lelaki berumur 31 tahun yang dalam perjalanan dari Seberang Perai, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pembahagi tengah lebuh raya.

“Akibat kejadian itu, treler terbabit kemudian melanggar pula lori muatan tembikai dan pacuan empat roda di laluan bertentangan arah selatan ke utara,” katanya.

Jelas beliau lagi, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan punca kematian belum dikenali pasti.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.” – Harian Metro

Google ads
Back to top button