
BYD SEAL DIPERKENAL DI EROPAH, SEDAN SEGMEN D, JARAK PANDU SEHINGGA 570KM
Peneraju pengeluar kenderaan tenaga baharu (NEV) dunia, BYD memperkenalkan sedan elektrik SEAL untuk pengguna Eropah.
SEAL adalah koleksi terbaru yang dilancarkan di benua Eropah selepas HAN (sedan segmen E), TANG (SUV segmen E), ATTO 3 (SUV segmen C) dan DOLPHIN (hatchback segmen C).
Sejumlah penawaran tersebut membuktikan kesungguhan BYD di dalam segmen kenderaan elektrik (EV).
SEAL merupakan siri kedua siri BYD Ocean selepas DOLPHIN yang menggunakan gaya bahasa baharu Ocean Aesthetics.
SEAL direka oleh pasukan pereka yang diketuai Pengarah Reka Bentuk Global BYD, Wolfgang Egger dan sebelum ini berkhidmat sebagai ketua pereka Audi Group, Alfa Romeo, Lancia dan SEAT.
Walaupun nampak gempal, pekali seretan SEAL hanya 0.219 Cd dan badan yang rendah ke jalan raya membilah angin seperti pisau cukur.
Sebagai sebuah sedan empat pintu, ruang dalaman SEAL selesa untuk lima penumpang dengan jarak roda 2,920 milimeter (mm) yang memberikan ruang kaki setara sedan eksekutif.
Senibina Cell-to-Body (CTB) dan pakej bateri yang kompak memberikan ruang kepala luasa walaupun dengan rekaan bumbung rendah.
Ruang bagasi mempunyai kapasiti 400 liter dan tambahan 53 liter pada bonet depan atau frunk bagi model pacuan roda belakang (RWD).
SEAL juga mempunyai banyak tempat simpanan dengan lebih 20 ruang fleksibel untuk barangan kecil.
Rekaan dalam SEAL memang menyerlah dan selain bentuk papan pemuka beralun, skrin besar saiz 15.6 inci boleh putar mendominasi bahagian depan.
Pemandu diberi skrin meter LCD saiz 10.25 inci dan seisi penumpang dihiburkan 12 pembesar suara Dynaudio Performance Audio System untuk kualiti bunyi premium.
Dari segi pengendalian, varian Excellence AWD (pacuan semua roda) menggunakan suspensi frekuensi boleh ubah untuk tindak balas yang cemerlang.
Teknologi itu berfungsi dengan mengawal aliran minyak di dalam silinder peredam melalui injap.
Apabila melalui permukaan jalan yang baik, redaman menjadi tegar untuk pemanduan stabil dan pengendalian lebih baik.
Daya redaman menjadi lebih lembut semasa melalui jalan berlubang atau permukaan yang kasar bagi menyerap impak dan untuk pemanduan berkualiti tinggi.
Varian ini juga menggunakan sistem Kawalan Penyesuaian Kawalan Tork Pintar (iTAC) yang menggunakan kaedah peralihan daya kilas (torque shifting) bagi mengekalkan kestabilan kereta.
Selain menjadi sumber tenaga, sistem bateri CTB turut berperanan sebagai komponen struktur kereta dengan menyumbang kadar ketegaran kilasan 40,500 Nm/darjah.
SEAL juga model BYD pertama menggunakan suspensi bebas dengan double wishbone di depan dan lima sambungan (five-link) di belakang yang juga menyumbang kepada pengendalian dan kawalan.
BYD mempunyai empat mod pemanduan iaitu ECO, Normal, Sport dan Snow.
Dari segi keselamatan, sistem bantuan pemanduan tercanggih (ADAS) terdiri daripada Amaran Pelanggaran Berdepan, Brek Kecemasan Automatik, Bantuan Pengekalan Lorong dan banyak lagi.
Tidak perlu tunggu lama, penghantaran pertama untuk pelanggan di United Kingdom (UK) bermula pada November 2023.
BYD menawarkan enam tahun jaminan pengeluaran dan lapan tahun untuk bateri dan motor elektrik.
Ada dua varian yang ditawarkan di UK iaitu SEAL Design berharga 44,990 pound (RM263,500) dan 47,990 pound (RM281,082) untuk SEAL Excellence-AWD.
Spesifikasi BYD SEAL
|
BYD SEAL Design |
BYD SEAL Excellence-AWD |
Dimensi (P/L/T) |
4,800 / 1,875 / 1,460 mm |
4,800 / 1,875 / 1,460 mm |
Jarak roda |
2,920 mm |
2,920 mm |
Pacuan |
RWD |
AWD |
Kelajuan maksimum |
180 km/j |
180 km/ |
Kuasa maksimum |
230 kW (313 PS) |
390 kW (530 PS) |
Masa pecutan 0-100 km/j |
5.9 s |
3.8 s |
Saiz rim |
19 inch |
19 inch |
Jarak pemanduan (Kombinasi WLTP ) |
570 km |
520 km |
Ruang simpanan bonet dan depan (frunk) |
400 liter + 53 liter |
400 liter + 53 liter |
Tempat duduk |
5 |
5 |
Jenis bateri |
BYD Blade Battery (LFP) |
BYD Blade Battery (LFP) |
Kapasiti |
82.5 kWj |
82.5 kWj |
Kuasa pengecasan |
11 kW AC (3 fasa) / 150 kW DC |
11 kW AC (3 fasa) / 150 kW DC |
Masa pengecasan DC(30-80%) |
26 minit |
26 minit |
Pam pemanas |
Standard |
Standard |
Fungsi V2L |
Standard |
Standard |
BACA: BYD CATAT SEJARAH, PRODUKSI MODEL NEV KE-5 JUTA
BACA: THAILAND TERAJU 79 PERATUS PASARAN EV ASEAN – BYD ATTO 3 PALING LAKU!
BACA: BYD ATTO 3, SUV ELEKTRIK PALING EFISYEN DAN BERBALOI. 440KM UNTUK SEKALI CAJ
BACA: SEGALANYA TENTANG INDUSTRI BYD, BUKAN SEKADAR MENGHASILKAN KERETA ELEKTRIK














