Buletin

PERMATA JDM – NISSAN 300ZX BERKUASA 1,000HP BAKAL DILELONG PADA TAS 2018

Jika anda rasa Toyota Supra V12 tidak cukup pantas, firma lelongan BH Auction akan menawarkan Nissan 300ZX pada acara lelongan di Tokyo Auto Salon 2018.

Turut dikenali sebagai JUN Bonneville Z32, jentera merah itu kekal menjadi sebahagian daripada sejarah penting JDM.

Selepas hampir 30 tahun kemudian, , ia bakal dilelong pada harga bermula AS$70,000 (RM285,400) hingga AS$100,000 (RM407,700), Januari depan.

Sejarahnya bermula pada tahun 1991 apabila JUN Automechanic mengubah suai kereta manual yang dilengkapi enjin twin turbo 3.0 liter ini. Modifikasi ekstrem ke atas enjin membuatkannya mampu menjana kuasa sehingga 1,000hp bergantung kepada tahap boost.

Di atas litar Salt Flats, dalam acara Bonneville Speed Week di Utah, Amerika Syarikat, Nissan ini menjadi kereta Jepun pertama yang mencatat kelajuan 400km/j. Ia sebenarnya boleh lebih laju daripada itu apabila berjaya mencecah kelajuan 421km/j.

Sekembalinya ke Jepun, JUN Z32 diubah suai agar menepati spesifikasi untuk digunakan di atas jalan biasa. Maksudnya, ia menggunakan kotak gear baru. Tetapi enjinnya dibiarkan seperti sebelumnya.

Sekali pandang 300ZX nampak macam kereta stok sahaja. Tetapi sebuah surge tank telah dipasang, sebab itulah ada bonggol besar pada hud hadapan yang sebenarnya membantu urusan pengambilan udara dengan lebih efisien.  

Adakah jentera ini mampu mencatat harga bidaan yang lebih tinggi? Sama-sama kita nantikan.

kredit foto: BH Auction

GALERI 

Google ads
Back to top button