Artikel Pilihan

KENAPA KERETA VARIAN MURAH KADANGKALA LEBIH SERONOK UNTUK DIPANDU

Bagi memenuhi kehendak pengguna yang mahukan sebuah kenderaan yang murah dan mampu milik, pengeluar kenderaan akan menghasilkan beberapa varian bagi setiap model yang dihasilkan oleh mereka. Ada pengeluar yang menghasilkan sehingga 3 ke 4 varian bermula dari varian “kosong” sehingga varian yang sarat dengan aksesori

Sebagai contoh Perodua Axia Perodua Axia 1.0G serba baru ditawarkan dengan harga RM 38,000 bagi varian automatik. Tapi jika anda ada kekangan bajet dan hanya perlukan kereta yang lebih selamat berbanding dengan motosikal, maka anda ada Perodua Axia 1.0E manual yang berharga RM 22,000 sahaja.

Jadi kami cuba kupaskan apakah kelebihan membeli kereta varian termurah berbanding varian termahal

1. Harga lebih murah tapi saiz sama je – ya varian termurah ini biasanya harga mampu milik disebabkan semua aksesori yang tidak perlu sudahpun dikeluarkan. Sebagai contoh Perodua Bezza 1.0G automatik berharga RM 37,845 sahaja berbanding dengan varian 1.3 AV yang dijual dengan harga RM 51,613

Kalau dari segi logik, anda akan dapat kereta yang sama saiz sahaja dengan harga yang lebih murah. Mungkin anda tidak mendapat aksesori tambahan, tapi kadang kala anda jarang guna aksesori tersebut ataupun ia boleh dibeli dengan harga lebih murah di atas talian.

2. Lebih ringan, lebih seronok di selekoh – disebabkan varian termurah tidak dipasang dengan aksesori dan peralatan tambahan, maka ia lebih ringan berbanding dengan varian yang lebih mahal. Sebagai contoh Kia Sorento 2.5 NA FWD adalah 200kg lebih ringan berbanding dengan varian 2.2 turbodiesel AWD

Cesi yang ringan menyebabkan masalah inersia semakin berkurang, menjadikan pemanduan di selekoh lebih selesa dan anda tidak perlu berebut dengan stering. Bayangkan anda nak bergerak ke kanan, cesi masih nak ke kiri disebabkan masalah inersia

Itu belum lagi jika berat ini menyebabkan masalah body roll ketika selekoh. Berat tambahan ini juga menyebabkan penggunaan bahan api bertambah sedikit berbanding dengan varian yang murah

3. Rim kecil, lebih pikap – biasanya varian termurah akan diberikan rim besi atau rim yang lebih kecil berbanding dengan varian yang mahal. Rim yang kecil ini adalah lebih ringan dan menyebab rolling resistance yang lebih rendah, menjadikan pecutan kereta lebih baik berbanding dengan kereta yang menggunakan rim besar

Malah rim yang kecil juga menjadikan kos penukaran tayar adalah lebih murah dan mesra poket. Boleh la anda pasang tayar berjenama Mat Saleh untuk kereta anda dan berlagak depan kawan-kawan yang menggunakan rim 17 tapi tayar cap unta.

4. Dinamik pemanduan yang lebih baik – Selain pecutan yang lebih baik dan penggunaan bahan api yang bagus, rim yang kecil ini lebih ringan dan menjadikan unsprung mass lebih rendah. Semakin rendah nilai unsprung mass ini, pergerakan roda adalah minima dan tidak mengganggu cesi kenderaan.

Keadaan ini menjadikan kenderaan menjadi semakin selesa dan tidak menyebabkan penumpang belakang mengalami motion sickness. Apa guna kalau anda guna rim besar untuk varian mahal tapi sampai je ke destinasi semua penumpang pening kepala?

5. Jadi kereta projek – dengan harga yang murah, anda boleh masukkan semua aksesori dan alat keselamatan yang lebih baik, sesuai dengan harga dan juga keperluan anda. Anda boleh gantikan dengan rim original yang lebih ringan, masukkan sistem audio yang lebih bagus dan berjenama serta perakam video digital yang lebih berkualiti.

Jadi membeli kereta dengan varian yang lebih murah tidak akan merompak keseronokan pemanduan anda, malah dalam sesetengah keadaan ia menjadikan pemanduan leboh seronok.

Google ads
Back to top button