
KIA PICANTO 2023, 1.0L DAN 1.2L, 5MT DAN AMT, SPORTY DENGAN GT-LINE
Para pereka Kia Motors memang handal. Bukan sahaja berjaya tampil dengan model baharu yang menarik tetapi juga mampu mengolah semula Picanto generasi ketiga seperti seperti model baharu sepenuhnya.
Sebagai rujukan, Picanto generasi ketiga diperkenalkan pada 2017 dan pernah dibawa masuk ke pasaran tempatan pada 2018 termasuk GT-Line pada 2019.
Pengenalan Picanto rupa baharu bermakna kitaran hayatnya dipanjangkan beberapa tahun lagi. Satu keputusan logikal memandangkan pengeluar perlu menguruskan sumber dengan baik pada era elektrifikasi.

Picanto merupakan salah satu model terlaris Kia di beberapa benua di dunia dan model 2023 tampil dengan kelengkapan standard lebih tinggi termasuk sistem bantuan pemanduan.
Dari segi reka bentuk, Picanto diinspirasi dari falsafah Opposites United dan tampil menarik dengan set depan baharu dari lampu, gril hidung harimau dan bampar.
Bentuk lampu masih menganjur dari sisi namun diolah dengan ekstrem begitu juga rekaan bampar. Bahagian sisi kekal sama tanpa perubahan pada panel dan garis badan.

Bahagian belakang pula seperti depan dan berubah sepenuhnya dengan lampu baharu yang bersambung dari kanan ke kiri. Pintu but yang dibuat berpetak dan bentangan lampu menampakkan imej lebih tinggi.
Ciri yang disebutkan berdasarkan gambar Picanto GT-Line dan biasanya mempunyai dua perkakasan berbeza di antara varian standard dengan GT-Line.
Selain itu, GT-Line diberikan rim 16 inci sebagai ciri standard berbanding 14 inci dan pilihan 15 inci dan 16 inci pada varian lain.

Ada sembilan warna yang ditawarkan termasuk empat warna baharu seperti Signal Red, Smoke Blue, Sporty Blue dan Adventurous Green.
Pada bahagian dalam, Picanto kekal dengan papan pemuka sama dan varian asas dilengkapi kerusi balutan kulit. Pengguna mempunyai pilihan dalaman Hitam Kilat, Adventurous Green dan Rich Brown.
Turut ditawarkan pilihan kerusi balutan kulit tiruan. Picanto GT-Line didatangkan dengan Pek Hitam Kilat dan pilihan Pek Adventurous Green.

Picanto 2023 didatangkan dengan skrin sentuh lapan inci dan paparan digital 4.2 inci. Skrin sentuh itu mempunyai fungsi navigasi dan sambungan Bluetooth hingga dua telefon pintar.
Sambungan Apple CarPlay™ dan Android Auto™ dijadikan ciri standard.
Sesuai dengan trend semasa, Picanto dilengkapi sistem Kia Connect yang mempunyai fungsi maklumat trafik secara langsung, ramalan cuaca dan sebagainya.

Pengguna juga boleh menghubungkan Picanto dengan Kia Connect App melalui telefon Android dan Apple.
Satu ciri canggih ialah fungsi over-the-air (OTA) untuk mengemaskini sistem navigasi dan maklumat hibur secara dalam talian.
Dengan trend elektrifikasi sekarang ini, Picanto 2023 kekal ditawarkan dalam pilihan enjin pembakaran dalaman 1.0 liter dan 1.2 liter petrol.

Enjin itu menggunakan laluan peredaran gas ekzos (EGR) yang dipertingkatkan dan pemasaan injap pengambilan yang dioptimumkan. Kia turut mempertingkatkan penyejukan kebuk pembakaran.
Kedua-dua enjin boleh dipadan dengan transmisi manual lima kelajuan (5MT) atau Automated Manual Transmission (AMT).
Dari segi pengendalian, Picanto menggunakan suspensi MacPherson di depan dan gandar torsion di belakang.

Kualiti pemanduan yang baik dan kestabilan dibentuk oleh jarak roda panjang 2,400 mm.
Roda depan yang ditempatkan hampir ke bahagian depan kereta dan berat rendah di depan gandar depan membantu dari segi pengendalian yang lincah.
Sistem elektronik turut membantu seperti torque vectoring by braking dan tambahan kepada fungsi Kawalan Penstabilan Elektronik (ESC).

Teknologi itu membantu dari segi pengendalian dan penstabilan semasa melalui selekoh dan mengurangkan understeer.
Picanto 2023 turut dilengkapi sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM), Kawalan Brek Selekoh (CBC) dan Kestabilan Laluan Lurus (SLS). Beg udara pula sehingga enam unit.
Bergantung kepada varian, Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) dilengkapi fungsi Bantuan Pengelakan Pelanggaran Berdepan 1.5 (FCA) dengan pengesanan kenderaan, penunggang basikal dan pejalan kaki.

Sistem itu termasuk fungsi Pembelokan Selekoh yang mampu mengesan risiko kemalangan sewaktu membelok di simpang dan membantu dengan pembrekan kecemasan.
Lagi sistem yang ditawarkan ialah Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu dan Amaran Kenderaan Depan Mula Bergerak, Bantuan Had Laju Pintar (ISLA).

Bantuan Pengikutan Lorong (LFA) menggunakan kamera bagi mengawasi tanda jalan raya dan membantu Picanto kekal di tengah lorong.
Turut dilengkapi Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA) dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
BACA: KIA EV6 GT, KERETA ELEKTRIK MENANG WORLD PERFORMANCE CAR 2023!
BACA: KIA SORENTO 2.5 AWD, 177 KUASA KUDA & 253NM TORK.
BACA: TIADA LAGI KIA STINGER DI UK, GANTI DENGAN EV6 GT YANG LAGI BERKUASA!
Kia Picanto GT-Line 2023





























