Artikel Pilihan

PERBANDINGAN ARUZ/RUSH DENGAN HONDA BRV

Umur purata rakyat Malaysia mula berkahwin ialah antara 26-30 tahun. Dalam masa 5 tahun pasangan yang berkahwin jika murah rezeki akan dikurniakan mungkin sehingga 2 atau 3 anak. Kebanyakan rakyat Malaysia mula menggunakan kereta kompak sebagai kereta pertama yang akan menjadi tidak sesuai apabila bilangan anak bertambah. Agak sukar untuk memasang 3 kerusi bayi melainkan ia sedan dalam segmen C atau D.

Apabila memandu untuk jarak jauh seperti pulang ke kampung maka kereta kompak tadi akan terasa sempit. Pilihan yang ada ialah samaada Honda BR-V ataupun Perodua Aruz dan kembarnya Toyota Rush disebabkannya baru dilancarkan dalam masa kurang 2tahun.

Perodua Alza bakal digantikan dengan model baru manakala Proton Exora pula bakal menerima MPV yang berasaskan model Geely. Toyota Avanza pula kekurangan sistem ESC walaupun pada model kemaskini 2019.

Mari kita bandingkan antara Honda BRV dengan Perodua Aruz/Toyota Rush. Bagi memudahkan perbandingan semua model yang dibandingkan adalah menggunakan varian paling premium.

Cesi – aspek ini merupakan perbezaan terbesar antara Rush/Aruz dengan Honda BRV. Cesi Honda BRV diasaskan daripada cesi monocoque, atau shell sama seperti cesi yang digunakan dalam kebanyakan kereta sedan dan kompak. Kerangka monocoque direka agar mampu menerima load atau daya dalam daya menerusi struktur yang terbina dalam (built in).

Cesi BRV direka agak unik dengan kerangka utama iaitu panel lantai BR-V diambil dari cesi Honda Brio iaitu sebuah kereta kompak ECO khas untuk pasaran Thailand. Platform lantai ini dipanjangkan sedikit berbanding platform asal bagi menjadikan jarak antara roda BR-V 2,662mm. Sub-kerangka depan dan bahagian enjin pula dipinjam dari cesi Honda Jazz/City kerana Brio hanya memiliki enjin 1200cc sahaja.

Cesi Rush dan Aruz direka dengan menggunakan kaedah ladder frame di mana kerangka utama terletak di bahagian bawah menerima dan menampung berat kenderaan dan sistem kenderaan (transmisi, brek, stering) akan dipasang pada bahagian ini. Kabin penumpang akan dipasang secara berasingan.

Cesi Rush yang digunakan oleh Aruz menggunakan ladder frame kerana ketika ia dibangunkan Toyota mendapati permukaan jalan di negara pasaran utama mereka iaitu Indonesia tidak ada infrastruktur jalan yang sempurna. Bagi menjadikan cesi ini lasak, maka ladder frame digunakan.

Enjin – kedua dua Honda BRV dan Aruz/Rush menggunakan enjin 1500cc dengan injap pemasaan. Aruz/Rush menggunakan enjin NR dengan teknologi dual VVT-i yang berupaya memberikan penggunaan petrol sekitar 15.6km per liter. Enjin ini menghasilkan 104 kuasa kuda dan 136Nm tork pada Rush.

Aruz pula menghasilkan 101 kuasa kuda dan 133Nm tork. Kami tidak pasti mengapa angka ini berbeza, namun kami yakin ia mungkin disebabkan perbezaan tetapan ECU dan juga kawalan injap yang sedikit berbeza dalam teknologi dual VVT-i.

Honda BRV pula menggunakan enjin 1500cc i-VTEC L15A7 yang menghasilkan 118 kuasa kuda dan 145Nm tork. Disebabkan penggunaan teknologi VTEC dan nisbah mampatan yang lebih tinggi, ia mampu menghasilkan lebih kuasa kuda.

Transmisi – Aruz/Rush menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik yang dihantar ke roda belakang. Walaupun RPM enjin menjadi agak tinggi ketika halaju 110km/j, pujian harus diberikan pada enjin kerana ia masih mampu memberikan penjimatan bahan api ( dengan bantuan dual VVT-i)

Honda BRV pula menggunakan transmisi CVT yang akan menghantar kuasa ke tayar depan, sama dengan kebanyakan kereta sedan juga kompak pada hari ini. Namun BRV dilengkapkan dengan penukar gear (yang memberikan 7 ratio maya) bagi memudahkan pemanduan

Sistem Gantungan – Aruz/Rush dan juga Honda BRV menggunakan rekaan topang McPherson pada gandar depan dengan kedua-dua penyerap hentak hadapan disambungkan dengan bar anti oleng. Perbezaan yang ketara pada model ini ialah pada gandar belakang. Honda BRV menggunakan torsion beam pada gandar belakang sama seperti sedan dan kereta kompak yang lain.

Aruz/Rush pula menggunakan sistem gantungan Live Axle yang mana gandar belakang merupakan sebahagian daripada sistem suspensi. Gandar belakang Rush/Aruz juga lebih rumit kerana ia menempatkan sistem differential yang menerima kuasa dari enjin menerusi sambungan propeller shaft. Suspensi belakang menerima bar anti oleng bagi membantu kestabilan kenderaan.

Sistem Keselamatan – Aruz/Rush serta Honda BRV menerima brek cakera dengan sejukan udara pada bahagian gandar depan dan brek dram pada bahagian belakang. Ciri-ciri lain seperti ABS, EBD, dan ESC merupakan ciri standard pada model ini. Hanya Honda BRV menerima 2 beg udara berbanding 6 beg udara pada Aruz/Rush.

Aruz menerima sistem ASA 2.0 yang memberikan ciri brek pra-perlanggaran sehingga kelajuan 80km/jam dan Rush pula menerima sistem Pre Collision Braking yang mampu mengesan kemungkinan berlakunya kemalangan sehingga 100km/j. Kedua dua sistem berupaya mengesan dan membrek jika mengesan pejalan kaki.

Ciri ini tidak ditawarkan pada Honda BRV. Rush ditawarkan dengan sistem keselamatan yang lebih cemerlang menerusi sistem amaran titik buta menerusi cermin sisi, sistem amaran lintasan belakang dengan sensor serta kamera dengan pandangan 360 darjah

Tayar – Aruz/Rush datang dengan tayar bersaiz 215/60 R17 yang dipasang dengan tayar Bridgestone Alenza. Honda BRV pula datang dengan tayar bersaiz 195/60 R16 yang lebih kecil. Secara pengiraan Aruz/Rush akan mempuanyai pusat graviti yang tinggi berbanding dengan BRV

Lampu Hadapan – Aruz/Rush menggunakan lampu depan dengan teknologi LED bagi lampu rendah dan juga tinggi. Perumah lampu ini menggunakan kaedah reflektor bagi menyebarkan cahaya. Lampu depan ini dilengkapi dengan fungsi Follow Me Home, yang boleh menyala beberapa ketika bagi menerangi laluan walaupun enjin dimatikan.

Lampu depan Honda BRV pula menggunakan lampu dengan sumber pencahayaan datang dari mentol halogen. Tapi ia dipakejkan dengan sistem projektor bagi lampu rendah dan reflektor bagi lampu tinggi. BRV juga datang dengan sistem DRL terbina dalam bagi memberikan imej yang lebh sporti.

Semua model didatangkan dengan lampu belakang dengan teknologi LED, brek ketiga dengan LED bagi Aruz/Rush dan lampu brek biasa bagi Honda BRV

Pengendalian- disebabkan cesi Aruz/Rush dibina dengan struktur ladder frame (sama seperti Hilux, Innova) maka pengendalian dan kawalan stering tidaklah setajam kereta sedan dan kompak yang biasa dipandu. Keadaan cesi yang tinggi dan kurus tidak membenarkan anda mengambil selekoh ala-ala Peter Solberg. Namun berdasarkan pandu uji kami pada Aruz dan Rush, NVH SUV ini adalah bagus.

Honda BRV pula boleh dipuji untuk pengendaliannya seperti sedan, malah tidak jauh seperti kereta Honda City milik penulis. Rekaan cesinya yang rendah serta enjin yang bertenaga yang digabungkan dengan CVT memberikan pecutan yang bertenaga. Namun kekurangannya ialah bunyi bising yang masuk ke dalam kabin penumpang terasa agak kuat

Penggunaan Petrol – bagi pandu uji Rush, kami merekodkan penggunaan petrol purata sekitar 13.3km per liter petrol dengan halaju sekitar 120km/j serta dinaiki 7 penumpang. Honda BRV pula mencatatkan penggunaan petrol sekitar 14.1km per liter bagi corak pemanduan yang sama.

Review Honda BRV oleh hos kesayangan anda Abam Japar dan Abam Beras

Pandu uji Toyota Rush oleh Hos muda bergetah Abam Farhan Nissan Sunny

Google ads
Back to top button