Pandu Uji

PANDU UJI: BEZA TOYOTA RUSH DENGAN PERODUA ARUZ

Toyota Rush, Daihatsu Terios dan Perodua Aruz. 3 nama dengan satu rekaan yang sama. Transmisi dan enjin pun sama. Apa yang membezakan ialah kelengkapan tambahan, alat keselamatan dan juga tahap keselesaan yang ditawarkan. Ini kali pertama kami menguji Toyota Rush selepas setahun lepas menguji Perodua Aruz 1.5 X. Jom ikuti kupasan kami apa yang membezakan Rush dengan Aruz.

Toyota Rush ada 2 pilihan, samaada varian 1.5G yang dijual pada harga RM 93,000 atau RM 98,000 bagi varian 1.5 S. Sekali imbas, dari segi paras rupa tak jauh pun rekaan Rush dengan kembarnya iaitu Perodua Aruz yang dijual pada harga RM 72,900 bagi varian 1.5 X dan 77,900 bagi varian 1.5 AV.

Dari segi rekaan, Rush sedikit berbeza dengan Aruz dari segi penampilan luaran. Kemasan skirting depan dan skirting belakang dengan warna perak menjadikan ia berbeza dengan Aruz. Akhir sekali sudah tentu logo Toyota digunakan bagi menggantikan logo Perodua di bahagian depan dan belakang.

Terdapat kemasan door moulding pada pintu yang menjadikan ia  berbeza dari bahagian sisi dengan Aruz. Namun bagi penulis Rush akan kelihatan sibuk sedikit pada bahagian sisi. Rekaan sisi dikemaskan lagi dengan rim rekaan Toyota yang pada pandangan penulis lagi sedap untuk dipandang

Oleh kerana acuan yang digunakan untuk menghasilkan papan pemuka berasal dari acuan yang sama, maka rekaannya hampir sama dengan Aruz. Warna krim lembut menjadi pilihan Toyota untuk digunakan pada bahagian strategik di bahagian tengah dan juga kemasan pintu.

Ia turut diserikan dengan sedikit kemasan krom, tapi tak nampak la sangat berlebihan dalam penggunaan krom. Secara peribadi kemasan dalaman Rush ini nampak lebih bergaya berbanding dengan Aruz. Cuma bila ditambah dengan hiasan benang palsu tue nampak kurang menarik.

Unit kawalan penyaman udara pun berbeza dengan Aruz. Rush menggunakan butang yang boleh dipulas atau rotary knob bagi mengawal kelajuan angin dan tetapan suhu. Kalau malas nak kawal, tekan butang automatik dan penyaman udara akan mengubah suhu kabin berdasarkan suhu kuar kereta. Lagi senang berbanding dengan butang daripada Aruz

Enjin yang digunakan sama dengan Perodua Myvi, Avanza dan juga Aruz iaitu 1NR-VE 1500cc dengan 4 silinder. Dengan bantuan sistem injap pemasaan dual VVTi ia menghasilkan 104 kuasa kuda pada 6000 RPM. Tork maksima 136NM pula dicapai pada 4200 RPM. Ya enjin ini 2 kuasa kuda dan 3Nm lebih daripada Aruz

Kesemua kuasa ini dihantar pada transmisi automatik 4 kelajuan dan seterusnya pada tayar belakang. Jadi dari transmisi ke gandar belakang ia akan menggunakan propeller shaft bagi menghantar kuasa. Sama seperti Aruz cesi Rush menggunakan cesi ladder frame yang bertindak menyokong semua beban dan kabin penumpang dipasang pada cesi ini

Live Axle with Coil Spring dan Bar Penstabil

Komponen lain seperti sistem stering, sistem brek dan juga suspensi akan dipasang pada struktur ini. Disebabkan struktur ini sama seperti kenderaan 4×4 maka anda akan rasa berbeza sedikit apabila memandu Rush. Sistem suspensi menggunakan aplikasi McPherson pada bahagian depan dan Live Axle lengkap dengan spring dan juga bar anti oleng

Sekarang zaman Toyota kemaskini sistem keselamatan. Dah tak boleh gelakkan mereka. 6 beg udara tu sudah pasti. Unit kawalan kestabilan ESC pun ada. Sistem amaran brek pra perlanggaran, brek pra perlanggaran dan beberapa fungsi yang sama dengan Perodua ASA 2.0 pun disediakan. Tapi yang jadi perhatian saya ialah unit amaran titik buta yang akan memberi maklumat jika ada kenderaan lain yang berada di sisi kereta namun tidak kelihatan pada cermin sisi.

Sistem ini juga lengkap dengan Rear Cross Traffic  Alert (Amaran Lintasan Belakang) yang akan memberi amaran jika ada kereta mendekati anda sewaktu mengundur keluar dari parkir. Kalau ada amaran di cermin sisi kanan, maka ada  kereta datang dari kanan. Rush juga ada banyak kamera. Ia dipasang di bahagian depan, kira dan kanan. Senang la sikit nak parkir kereta di tempat sempit.

Satu lagi lebih pada Rush ini ialah kamera perakam digital yang dipasang pada cermin depan. Kualiti pemasangan dia kemas dan saya yakin ia akan bertahan lama berbanding dengan kualiti yang dipasang di kedai Abang atau Adik. Jangan main main, waktu kereta tidak bergerak pun akan ada rakaman dibuat.

Pengalaman Pemanduan

Sebaik sahaja duduk atas kerusi pemandu, perkara pertama yang penulis ingin komen ialah sokongan pada bahagian belakang iaitu antara tulang bahu ialah ia terlalu ke depan. Menjadikan pemandu kurang relaks. Walaupun penyandar diubah ke belakang ia tetap kurang selesa. Kalaulah kusyen ini selesa seperti Vios kan bagus

This image has an empty alt attribute; its file name is 12.jpg

Unit penyaman udara bertindak cemerlang dan angin sejuk yang dihantar juga terasa kuat. Jika suhu ditetapkan pada 27 Celsius pada waktu pagi, operasi sistem Mula Henti enjin akan memastikan enjin dimatikan lebih lama dan menjimatkan petrol. Operasi sistem juga teras sedikit lembut berbanding dengan Aruz.

Kuasa enjin 104 kuasa kuda bukanlah sesuai untuk berlumba. Namun tork yang dihantar pada gear 1, 2 dan 3 membantu Rush meluncur laju ke depan. Masuk saja gear 4 baru terasa alahai keciknya enjin Rush ini. Solusi mudah ialah pastikan anda menggunakan D3 dan tekan pedal minyak biar RPM naik melebihi 2800 RPM. Baru terasa hidup sikit. Ini lah kelemahan gear 4 ratio. Ia tak cukup power spread dan gearing.

This image has an empty alt attribute; its file name is 13.jpg

Gear Rush pula suka sangat naik ke gear 4 dengan cepat. Nak jimatkan petrol rasanya. Walaupun pada 120km/j dan RPM enjin mencecah 3500, agak susah nak dengar bunyi enjin. Macam ruangan enjin tue dikedap rapi. Hanya sesekali terdengar bunyi propeller shaft berputar di bahagian bawah kabin

Gandingan cesi ladder frame, tayar bersiri 60 dan pusat graviti yang tinggi menjadikan memandu Rush sedikit gayat pada mulanya. Paling penulis tak suka bila terdapat gerakan olengan dan pitching berlaku serentak bila melalui jalan berselekoh dengan permukaan jalan tak rata. Jadi kalau jalan kampung berselekoh, bawa berhemah lebih baik

This image has an empty alt attribute; its file name is 14.jpg

Prestasi brek pula cemerlang. Kalau setakat nak mengelak kucing melintas atas jalan memang kacang ja. Gabungan ESC, ABS dan EBD akan memastikan tayar tak sempat berkokok. Ia berhenti dengan kemas di laluan lurus. Cuma kalau sistem Blind Spot boleh mengeluarkan bunyi jika ia mengesan kereta lagi bagus. Kalau berkelip kelip saja penulis rasa ia tak cukup untuk memberi amaran

Jika dipandu di jalan tak rata, Rush senang saja meredah laluan seperti di dalam gambar. Cuma tayar Highway Terrain yang digunakan membataskan sikit perjalananya. Di lebuh raya ia kekal tenang dengan bunyi tayar dan angin sekitar 68 dB pada halaju 110km/h. Lebih kurang dengan Aruz 1.5 X yang dipasang dengan pakej Gear Up Comfort (dengan bahan kedap bunyi di pintu)

Tekanan angin pada tayar depan mestilah tak boleh melebihi 240kpa, maka ia akan melantun sedikit jika melalui jalan tidak rata. Ia memberi kesan pada tindak balas stering di mana stering menjadi ringan secara tiba tiba sewaktu ia melompat. Ini adalah salah satu kelemahan cesi ladder frame. Walaupun ia menggunakan tayar yang lembut, cesi yang tegar dan keras kadang kala terasa kurang selesa dan mengganggu sensitiviti stering.

Jadi dengan harga hampir RM 20,000 lebih mahal  berbanding Perodua Aruz 1.5 AV, anda akan dapat 3 kuasa kuda tambahan, 3Nm tork tambahan, sistem pengawasan titik buta, sistem amaran lintasan belakang, perakam video digital, kemasan dalam berwarna krim, kemasan krom,  sport rim yang lebih menarik dan bahan kedap bunyi yang lebih berbanding dengan Aruz

Setangki penuh petrol boleh memuatkan sekitar 45 liter. Penggunaan petrol terbaik adalah sekitar 17.8 km bagi setiapm liter petrol. TAPI dengan halaju sekitar 105km/jam dan RPM sekitar 3000. Jadi ini BSFC terbaik bagi model Aruz dan juga Rush. Namun pada hari terakhir memandu Rush saya terpaksa memandu dengan laju sekitar 120km/j.

Secara purata penggunaan petrol Rush adalah 13.3km / liter petrol. OK la untuk sebuah SUV dengan berat mencecah 1300kg. Sebagai perbandingan Myvi 2008 penulis dengan enjin 1300 pun dapat purata yang sama bagi perjalanan jarak jauh. Kita dapat lihat dengan perkembangan teknologi enjin 1500cc sekarang nyata lebih cekap dalam penggunaan petrol.

Macam ini lah, kalau adik beradik anda, jiran, tok ketua, bini YB, kawan tadika dan bekas makwe anda memandu Aruz, mungkin terlalu ramai yang membeli Aruz menjadikannya kurang istimewa sedikit. Mungkin anda boleh tambah sikit duit, terus naik taraf kepada Rush dengan semua peralatan keselamatan dan keselesaan yang lebih. Baru nampak lain dari yang lain. Baru nampak lebih ada-ada kan.

Sila tonton video di bawah

Google ads
Back to top button