
PERODUA ARUZ LAVA RED, THE AJERUL STYLE…
Hukum hakam asas dalam dunia modifikasi bermula dengan satu perkataan – lowered. Iaitu kenderaan perlu direndahkan untuk menjadikannya nampak kemas dan gagah.
Baik apa juga kenderaan, apabila pusat graviti direndahkan, secara automatik ia akan kelihatan tegap dan sporty. Lihat sahaja pada kereta-kereta sport yang memang dibina dengan pusat graviti rendah, sebagai aerodinamik pengendalian dan juga penampilan.
Jika anda biasa dengan imej yang dihasilkan oleh pakar manipulasi The Ajerul, beliau sering membina semula kereta-kereta biasa menjadi nampak luar biasa.

Nukilan terbaru beliau ialah SUV Perodua Aruz. Imej lakaran ini didatangkan dengan tema asas iaitu direndahkan dan dipasangkan dengan rim besar, mungkin berdiameter 19 atau 20 inci. Mengikut firasat kami, rim tersebut rekaannya ialah dari Vossen model CVT.

Apa yang lebih menarik lagi, Ajerul atau lebih dikenali dengan panggilan Poksu membayangkan warna garang iaitu Lava Red. Warna yang menjadi ikon Myvi ini nampak kemas pada sebuah Aruz apatah lagi bila dipadankan dengan jeriji tengah yang digelapkan.

Nampak elok bila grill tersebut datang dengan warna hitam tetapi satu garisan krom ditinggal di bahagian tengah dan samada secara kebetulan atau memang Poksu mahu ia selari dengan kedudukan lampu nyalaan siang (DRL) pada lampu utama
Kesudahan bagi kemasan ini ialah padanan “running board” di bahagian sisi yang berjaya bertindak sebagai skirting sisi kenderaan. Ironinya juga, ramai pemilik Aruz mengadu bahawa SUV ini agak tinggi dan menyukarkan mobiliti keluar-masuk bagi kanak-kanak dan orang tua.
Jika anda mahu idea make-over sebuah Aruz, ini mungkin boleh beri ilham. Tak payah hantar cat kalau sayang kereta baru. Boleh hantar kedai wrapping , balut pakai stiker.
Boleh tukar-tukar warna apa tiap-tiap bulan pun boleh bossku…
KREDIT: THE AJERUL