Artikel Pilihan

ENJIN DAIHATSU WA-VE 3 SILINDER 1200CC, LEBIH EFISYEN. ADAKAH AKAN DIPASANG PADA ATIVA?

Awal tahun 2021, tim Mekanika telah menghasilkan satu video teknikal berkenaan dengan enjin 3 silinder 1KR-VET yang digunakan oleh Perodua Ativa. Salah satu andaian yang kami buat ialah rekaan enjin 3 silinder ini dipilih disebabkan pasukan Perodua & Daihatsu mungkin merancang untuk menghasilkan varian hibrid.

Ini kerana enjin 3 silinder ini saiz ukurannya lebih kecil dan kompak, bagi membolehkan komponen hibrid ringkas dipasang pada model Ativa yang baru. Andaian kami ada yang betul dan ada yang salah. Yang betul ialah ya Daihatsu telah melancarkan varian hibrid yang beroperasi hampir sama dengan sistem i-MMD Honda.

Andaian yang salah pula, Daihatsu tidak menggunakan enjin 1KR-VET sebagai penjana kuasa tapi membangunkan enjin baru yang dinamakan dengan WA-VE. Berikut ialah maklumat asas berkenaan dengan enjin ini:

1. Enjin ini diberi nama WA-VE bagi varian Daihatsu Rocky 1200cc 3 silinder yang berkuasa petrol sepenuhnya. Bagi varian hibrid, enjin ini diberikan dengan kod WA-VEX. Jadi operasi kedua-dua enjin mungkin berbeza walaupun ia menggunakan rekaan yang sama

High tumble port

2. Sesaran enjin sebenar ialah 1196cc yang terhasil daripada 3 silinder. Setiap silinder direka dengan diameter bersaiz 73.5mm dan lejang sebesar 94mm. Enjin ini tiada kaitan dengan enjin 1KR-VET 3 silinder 998 cc dengan saiz diameter 71mm dan juga lejang sebesar 83.9mm

Enjin ini juga tiada kaitan dengan enjin 3NR-VE 4 silinder 1200cc. Ia enjin baru sepenuhnya.

3. Berbeza dengan enjin 1KR-VET yang dipasang dengan turbo dan memiliki nisbah mampatan rendah 9.5 bagi mengelakkan masalah ketukan, enjin WA-VE dipadankan dengan nisbah mampatan 12.5:1. Sebagai perbandingan enjin Dynamic Force milik Toyota juga dipadankan dengan nisbah antara 13:1 sehingga 14:1

Nisbah mampatan yang tinggi digunakan bagi menghasilkan kecekapan terma yang tinggi dan enjin menjadi efisyen

4. Dari segi prestasi enjin ini mampu menghasilkan 85 kuasa kuda pada 6000 RPM dan 113Nm tork pada 4500 RPM. Sebagai perbandingan enjin 1KR-VET menghasilkan 96 kuasa kuda dan 140Nm tork antara 2400-4000 RPM.

Bagi kegunaan sistem hibrid, enjin WA-VEX menghasilkan 80 kuasa kuda pada 5600 RPM dan 105Nm tork antara 3200-5200 RPM

5. Kekuatan enjin 1200cc WA-VE ini ialah kecekapan terma dimana lejang silinder adalah lebih besar daripada diameter bagi menghasilkan enjin “undersquare” dan menggunakan kaedah kemasukan udara high tumble port bagi menghasilkan pembakaran pantas sama seperti yang digunakan oleh enjin Dynamic Force serta mengurangkan kebarangkalian masalah ketukan enjin

sistem penyejuk 2 lapisan

6. Bagi mengurangkan pembaziran tenaga haba, enjin ini menggunakan kaedah 2 saliran sistem penyejukan, ini bermakna sesetengah bahagian enjin kekal panas pada suhu optimum dan sesetengah bahagian lagi kekal sejuk. Jadi operasi pam cecair penyejuk dikawal sepenuhnya oleh ECU tanpa perlu bergantung pada sambungan mekanikal

7. Exhaust Gas Residual atau sistem kitaran semula gas ekzos yang masih panas akan dikitar masuk semula dalam silinder bagi mengurangkan lagi masalah knocking (ketukan). Tapi gas EGR ini akan disejukkan dulu oleh sistem penyejuk bagi memastikan EGR ini berkesan dalam mengatasi masalah kncoking disebabkan nisbah mampatan enjin yang tinggi

sistem EGR sejukan udara

8. Hasilnya ialah penggunaan petrol bagi Daihatsu Rocky varian terendah 2WD berupaya mencatatkan bacaan purata 24.6km bagi setiap liter petrol bila diuji dengan protokol JC08. Enjin ini memberikan bacaan sekitar 20.7km bagi setiap liter petrol dengan protokol WLTC

9. Bagi varian e-Smart Hybrid, enjin ini beroperasi dengan kitaran enjin Atkinson yang lebih cekap. Ia juga dipadankan dengan sistem hibrid yang lengkap dengan motor elektrik yang menjana kuasa 77 kuasa kuda dan 170Nm tork antara 0-4300 RPM. Motor ini dipasang pada tayar depan Daihatsu Rocky

10. Bateri yang dignakan pula dari jenis ion lithium dengan keupayaan menghasilkan arus elektrik sehingga 4.3 Ah. Varian hibrid menggunakan transmisi gear tunggal dengan ratio sebesar 10.939 berbeza dengan varian 1.2 petrol dan 1.0 turbo yang menggunakan transmisi D-CVT

enjin WA-VEX

11. Bagi varian 1.2 e-Smart Hybrid, Daihatsu Rocky ini berupaya mencatatkan purata penggnaan petrol sehingga 34.8 km bagi setiap liter bahan api dengan protokol ujian JC08. Bagi ujian protokol WLTC, ia masih mencatatkan purata penggunaan bahan api sekitar 28km bagi setiap liter

Ini bermakna kalau dari Kuala Lumpur ke Mentakab, Daihatsu Hybrid ini hanya perlukan 4.85 liter petrol sahaja atau sekitar RM 9.95 kos petrol. Murah kan. Buat masa ini kita akan melihat banyak unit ujian Daihatsu Rocky diuji di sekitar Kuala Lumpur

Bagi Malaysia yang masih lagi kekurangan fasiliti mengecas untuk kenderaan elektrik, pengenalan model hibrid yang cekap tenaga ini sangat dinantikan.

Google ads
Back to top button