
PENGGANTI PERODUA AXIA MUNGKIN DILANCARKAN PADA TAHUN 2023
Memasuki tahun 2022, Perodua Axia telahpun memasuki tahun ke lapan pengeluarannya. Dalam kitaran produk automotif, biasanya sesebuah model akan dijual selama 5 tahun sebelum digantikan dengan model baru sepenuhnya (full model change).
Semenjak diperkenalkan pada tahun 2014 yang lalu, Axia telah menerima 2 kali naiktaraf iaitu pada tahun 2017 dengan menerima enjin VVT-i yang baru. Pada tahun 2019 Axia sekali lagi telah dinaiktaraf dengan menerima perubahan kosmetik serta ditawarkan dalam 6 varian yang berbeza.
Varian termurah iaitu 1.0 E Manual datang pada harga RM 23,367 merupakan kereta baru termurah bagi pasaran Malaysia dan varian termahal pula Axia 1.0 AV AT dijual dengan harga RM 41,427. Buat masa ini semua produk Perodua telah dinaiktaraf atau diganti termasuklah Alza yang bakal dilancarkan bulan depan
Jadi besar kemungkinan model seterusnya yang akan digantikan ialah Axia dan kod projek pengganti Axia telah diberi sebagai D74A. Apabila kod projek dinamakan, maka kita boleh mengagak bahawa cesi yang digunakan adalah cesi serba baru DNGA bagi menggantikan cesi Daihatsu Global A-Segment Platform.

Buat masa ini hanya Perodua Ativa sahaja yang menggunakan cesi DNGA dan pandu uji Perodua Ativa membuktikan cesi ini jauh lebih canggih berbanding dengan cesi lama Perodua. Penggunaan cesi atau platform DNGA ini membenarkan Perodua/Daihatsu menggunakan pelbagai teknologi yang baru pada Axia.
Kita MUNGKIN boleh lihat enjin VVT-i 1000cc dikekalkan atau diberikan tawaran baru baru yang lebih bagus termasuk teknologi elektrifikasi dan hibrid. Transmisi 4 kelajuan automatik MUNGKIN akan kekal atau digantikan dengan transmisi Dual Mode CVT.
Buktinya Perodua Myvi facelift tahun 2022 menggunakan transmisi ini walaupun ia sebenarnya dibangunkan khas untuk cesi DNGA. Kami juga meramal mungkin varian manual tidak lagi ditawarkan melainkan melalui tempahan khas untuk sekolah memandu
Apa yang pasti model baru Axia ini akan mula dipasarkan menjelang suku ke 2 tahun 2023. Malah menurut sumber dalaman kami iaitu abam pemotong rumput di kilang Perodua menyatakan syarikat automotif ini sedang merangka strategi dalam usaha ke arah kenderaan elektrik.
Namun apa yang pasti harga Axia baru yang dijual pada tahun depan mestilah mampu milik kerana Axia adalah kereta rakyat, khas untuk bergerak dari poin A ke poin B. Tapi pada masa yang sama ia harus selamat, efisyen dan ada rupa.