Buletin

PERODUA HARAP PENGECUALIAN CUKAI JUALAN DILANJUT KERAJAAN. SASAR KELUARKAN 265,900 UNIT KENDERAAN PADA TAHUN INI

PERODUA berharap pihak kerajaan akan melanjutkan inisiatif pengecualian cukai jualan yang akan berakhir pada bulan Jun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata inisiatif berkenaan merupakan insentif terbaik buat pengguna untuk membuat pembelian kenderaan baharu mereka.

“Saya menjangkakan peluang 50-50 bahawa kerajaan akan melanjutkan insentif berkenaan.

“Kalau dilanjutkan ia akan membantu para pelanggan untuk memiliki kenderaan baharu mereka malah dapat memulihkan industri automotif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Perodua menjangka dapat meningkatkan bahagian pasaran kepada 40.6 peratus tahun ini dengan mendaftarkan 247,800 unit kenderaan daripada sasaran jualan industri (TIV) iaitu 610,000 unit kenderaan berbanding 37.4 peratus bahagian pasaran tahun lalu.

Zainal Abidin memberitahu pada tahun ini, pihak Perodua menjangkakan mengeluarkan sebanyak 265,900 unit kenderaan iaitu 37.5 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu yang mencatatkan 193,400 unit kenderaan.

“Peningkatan dalam pengeluaran akan membawa kepada peningkatan pembelian alat gani automotif sumber tempatan sebanyak 41.5 peratus iaitu RM7.5 bilion berbanding RM5.3 bilion pada tahun lalu.

“Perodua melihat jaminan daripada kerajaan bahawa langkah-langkah dalam membendung wabak Covid-19 menunjukkan kejayaan dan penutupan tidak akan berlaku lagi.

“Pemulihan ini akan membantu industri untuk pulih dengan lebih cepat kerana permintaan terhadap kenderaan masih kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pembentangan Perodua 2022 Outlook di Kuala Lumpur.

Zainal Abidin menjelaskan permintaan adalah kukuh bagi semua model pada tahun lalu dengan Myvi mendahului dengan mencatatkan sebanyak 47,525 unit.

“Ia diikuti Axia (43,080 unit), Bezza (42, 698 unit), Ativa (26,847 unit), Aruz (15,313 unit) dan Alza (14,828 unit).

“Jumlah tempaha kami untuk kenderaan baharu masih sihat dengan jaminan pengeluaran akan berjalan tanpa gangguan dan ia bermakna dapat memenuhi tempahan tertunggak tepat pada masanya,” ujarnya.

Google ads
Back to top button