
PERODUA LANCAR PAKEJ AUTO RAHMAH UNTUK PEMILIK AXIA DAN BEZA. DISKAUN SERVIS 30%, 12 APRIL – 15 MEI 2023
Perodua memperkenalkan pakej servis khas kepada pemilik Axia dan Bezza bagi mengurangkan impak kenaikan harga barangan. Pada masa sama mempromosikan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan keselamatan yang terbaik untuk sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang.
Pakej servis khas berkenaan merupakan maklum balas kepada Pakej AUTO RAHMAH yang baru dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di bawah program PAYUNG RAHMAH. Ia bertujuan mengurangkan beban kos hidup yang ditanggung oleh rakyat.
Kempen servis khas yang dikenali sebagai Perodua Auto Rahmah 2023, terdiri daripada diskaun 30 peratus untuk jumlah keseluruhan di dalam satu invois bagi alat ganti dan kos buruh. Untuk melayakkan diri menyertai kempen ini, pemilik Axia dan Bezza dikehendaki membuat janji temu di pusat servis Perodua yang berhampiran.
Kempen akan berlangsung mulai 12 April hingga 15 Mei 2023 (tertakluk kepada terma dan syarat).
Hari ini, pemilikan kenderaan telah menjadi satu keperluan kepada kebanyakan orang. Sehubungan itu, kos pemilikan kenderaan seperti pinjaman, kos bahan api, tol dan penyelenggaraan juga menjadi antara komponen utama perbelanjaan isi rumah rakyat Malaysia.

Justeru, MITI amat berbesar hati kerana Perodua telah menyahut saranan kerajaan menerusi Pakej AUTO RAHMAH 2023 yang menawarkan diskaun bagi penyelenggaraan kenderaan di pusat servis rasminya.
“Kami berharap jenama kenderaan lain akan turut mengikuti langkah Perodua bagi membantu memastikan keselamatan pemilik kenderaan dan mereka yang tersayang semasa berada di jalan raya, terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.
“Adalah menjadi keutamaan kerajaan untuk mencari kaedah yang terbaik dalam mengurangkan kesan kenaikan harga dan MITI sedang memanfaatkan peranannya untuk mencapai objektif itu,” kata Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Pakej servis khas Perodua Auto Rahmah 2023 ini adalah khusus buat pelanggan Axia dan Bezza kami yang membantu memenuhi keperluan pemotoran dan pada masa yang sama mengurangkan kos sara hidup mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
MITI sentiasa menjadi penyokong terbesar Perodua dan kini sedang bekerjasama untuk merealisasikan diskaun servis khas tersebut.
“Axia dan Bezza ialah model kami yang paling popular dan digunakan secara meluas sebagai mod pengangkutan utama oleh para pelanggan. Jadi, kami ingin memastikan usaha yang dibuat dapat dinikmati oleh golongan sasar dan memberikan ketenangan semasa memandu,” kata Zainal.








