Buletin

HONDA BAKAL LANCAR MOTOSIKAL ELEKTRIK DI INDONESIA PADA Q2 2023 – TAWAR PILIHAN BATERI SWAP DAN BINAAN DALAM

Kita sedia maklum bahawa penggunaan motosikal elektrik semakin mendapat perhatian di Indonesia, pasaran terbesar di rantau ini.

Dalam menggalakkan lebih ramai pengguna beralih kepada motosikal elektrik, PT Astra Honda Motor (AHM), merancang untuk melancarkan motosikal elektrik pada suku kedua 2023 di Republik itu.

Naib Presiden Eksekutif AHM baharu, Thomas Wijaya berkata, pihaknya sedang mengkaji spesifikasi serta ciri bersesuaian untuk pengguna motosikal Honda di Indonesia.

“Kami masih mengkaji penyesuaian, spesifikasi, termasuk ciri-ciri diperlukan oleh pengguna kami di negara ini, baik dari segi infrastruktur atau keselamatan,” kata Thomas.

AHM mahu memanfaatkan subsidi yang diberikan kerajaan dan akan menyediakan dua pilihan penggunaan bateri iaitu dengan sistem pertukaran bateri (swap) atau bateri terbina dalam.

Perkembangan berkaitan, PT AHM pada suku pertama 2023 berjaya mencatat hasil jualan sebanyak 1,435 unit atau meningkat 50 peratus berbanding 2022 dalam tempoh sama. Honda Beat dikatakan menjadi penyumbang terbesar kepada jualan di Indonesia pada suku pertama tahun ini.

Untuk rekod, data Persatuan Industri Motosikal Indonesia (AISI) menunjukkan jualan kenderaan beroda dua mencecah 5,221,470 juta unit pada 2022, meningkat 3.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Google ads
Back to top button