Buletin

PERODUA PERKENAL CARE SEAT BAHARU. GANTI CHILD SEAT GEARUP, JAMINAN 1 TAHUN, BERMULA RM680

Perodua memperkenalkan Care Seat, kerusi keselamatan kanak-kanak baharu yang sesuai untuk bayi dan kanak-kanak kecil. Ia yang menawarkan lebih fleksibiliti, praktikaliti dan nilai kepada ibu bapa di Malaysia.

Ditawarkan pada harga RM680 di Semenanjung Malaysia dan RM695 di Malaysia Timur, Perodua Care Seat sesuai untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur hingga 12 tahun (atau berat sehingga 36 kg). Ia sekali gus  menggantikan kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp Infant dan Toddler sebelum ini yang berharga RM785 dan RM975 seunit. 

“Perodua Care Seat merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyumbang ke arah tahap keselamatan jalan raya yang lebih tinggi. Demi keselamatan mereka, kanak-kanak harus duduk dalam kerusi keselamatan sebelum kenderaan bergerak. 

“Bagi mendorong amalan ini, Perodua memperkenalkan produk yang lasak, mudah disesuaikan, selesa, mampu milik dan memenuhi piawaian keselamatan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Perodua Care Seat menggunakan pemasangan ISOFIX dan mematuhi piawaian ECE R44/04. Ia boleh dipusing menghadap ke depan atau ke belakang. Selain menampilkan enam posisi baring serta tali keselamatan yang boleh dilaras mengikut kedudukan penyandar kepala.

“Kami harap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak akan menjadi satu kebiasaan di Malaysia suatu hari nanti. Ini akan membantu mengurangkan kecederaan dan kemalangan jiwa di jalan raya, terutama golongan kanak-kanak,”kata Zainal. 

Ditawarkan dalam warna kelabu atau biru, Perodua Care Seat didatangkan dengan waranti satu tahun, dua kali ganda tempoh waranti kerusi keselamatan kanak-kanak GearUp Infant dan Toddler terdahulu.  Pembeliannya boleh dimasukkan ke dalam pinjaman kenderaan baharu Perodua.

Perodua Care Seat kini boleh didapati di semua pusat-pusat jualan dan servis Perodua yang sah di seluruh negara.

Google ads
Back to top button