Buletin

PERODUA TERIMA 24,265 TEMPAHAN PADA JULAI. SST TIDAK JEJAS MINAT PEMBELIAN

Perodua memaklumkan bahawa permintaan bagi kenderaannya masih kukuh apabila menerima 24,265 tempahan pada bulan Julai, walaupun cukai jualan untuk kenderaan baharu kembali diperkenalkan pada 1 Julai 2022.

Jualan Januari hingga Julai juga amat memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 48.7 peratus kepada 145,689 unit berbanding 97,945 unit yang dijual pada jangkamasa sama pada tahun lepas.

“Terdapat dua faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan jualan ini. Faktor pertama disebabkan oleh  permintaan yang tinggi bagi kenderaan kami kerana pembeli ingin mendapat harga pelepasan cukai jualan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan.

“Faktor kedua merupakan kesan penutupan hampir kesemua sektor pada bulan Jun hingga pertengahan Ogos 2021 bertujuan untuk membendung wabak Covid-19 pada masa itu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Jumlah tempahan kenderaan baharu, walaupun tidak setinggi prestasi Januari hingga Jun tahun ini, adalah lebih baik daripada jangkaan. Ini membuktikan bahawa industri automotif masih ada potensi yang cerah.

Zainal memberitahu Perodua Alza 2022 juga telah menerima tempahan yang tinggi. Secara keseluruhannya model baharu Perodua telah menerima sebanyak 39,000 sejak tempahan dibuka dengan 9,000 unit pada bulan Julai.

Ketika pelancarannya, Perodua mensasarkan jualan sebanyak 3,000 unit sebulan.

Google ads
Back to top button