
PERODUA SERAH 4,016 UNIT ALZA PADA JULAI 2022
Perodua memberitahu bahawa pihaknya telah menyerahkan 4,016 unit Alza sepanjang Julai 2022. Jumlah tempahan juga jauh lebih tinggi daripada sasaran asal iaitu 3,000 sebulan kepada 9,000 pada Julai.
Biarpun begitu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad memberitahu masih terdapat beberapa isu yang belum selesai seperti kekurangan tenaga kerja terutama dari Bangladesh dan bekalan cip semikonduktor yang masih belum stabil.
Isu-isu berkenaan menyebabkan jualan bulanan Perodua merosot sebanyak 13.3 peratus kepada 18,346 pada Julai berbanding 21,164 unit sepanjang Jun lalu.
Justeru, Perodua kini bekerjasama rapat dengan kerajaan untuk mengatasi isu kekurangan pekerja dalam sektor automotif bermula Ogos dan Perodua dapat beroperasi sepenuhnya.
“Dalam isu kekurangan bekalan cip semikonduktor pula, kami telah mendapat bekalan secukupnya untuk kami mengeluarkan dan mendaftar lebih daripada 247,800 unit disasarkan pada awal tahun ini.
“Walaupun begitu, kami masih dalam usaha menstabilkan peningkatan pengeluaran. Jadi, kami hanya akan mengumumkan sasaran jualan baharu pada tarikh kemudian” kata Zainal.
Beliau berkata jumlah jualan industri automotif tahun ini juga berpotensi untuk melebihi sasaran 630,000 unit yang telah diumumkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) baru-baru ini.
“Hampir semua jenama kenderaan di negara ini menerima tempahan yang banyak kerana pelanggan ingin mendapat initiatif pengecualian cukai jualan. Saya percaya industri automotif mampu melepasi unjuran tambahan 30,000 unit yang diumumkan oleh MAA,” tambahnya lagi.
MAA meningkatan sasaran jualan tahun 2022 kepada 630,000 unit, peningkatan sebanyak 30,000 unit daripada sasaran.







