Buletin

PERODUA TURUNKAN SASARAN JUALAN 2021 KEPADA 214K. SERAH HAMPIR 7,000 UNIT PADA OGOS

Perodua mendaftarkan 6,988 kenderaan pada bulan Ogos berbanding 655 unit pada Julai. Peningkatan ini berpunca daripada peningkatan produksi dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.

“Kami menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada September apabila keadaan kembali normal,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Semua operasi Perodua dihentikan berikutan penutupan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 untuk mengawal penyebaran COVID-19.

Setakat tahun ini (year-to-date), Perodua telah mendaftarkan 104,933 kenderaan dengan penurunan 12.5 peratus ​​berbanding 119,977 kenderaan yang dijual antara Januari dan Ogos tahun lalu.

“Kami sedang berusaha untuk mengecilkan jurang ini dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan dan menambah baik prosedur operasi bagi  memastikan keselamatan para kakitangan dan pelanggan,” kata Zainal.

Berdasarkan faktor waktu dan sumber sedia ada, Perodua menurunkan sasaran jualan sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 kenderaan tahun berbanding sasaran 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini. 

Keutamaan Perodua kini adalah untuk memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini. Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes COVID-19 dan kekurangan bekalan semikonduktor. 

Mengulas mengenai kekurangan cip semikonduktor, Zainal menyatakan bahawa Perodua masih memperolehi bekalan mencukupi untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar pada tahun ini. Sebahagian besar tempahan Perodua yang tertunggak juga akan dapat dipenuhi. 

“Buat masa sekarang, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan para pembekal untuk menghadkan sebarang gangguan yang timbul,” katanya.

Google ads
Back to top button