
43,000 FORD RANGER DAN 22,000 HUMVEE. APA JADI PADA ASET KETENTERAAN AS DI AFGHANISTAN?
Tentera Amerika Syarikat (AS) yang menarik diri dari Afghanistan pada bulan lalu tidak membawa pulang semua aset ketenteraan di negara terbabit.
Bahkan, antara aset yang ditinggalkan termasuk pesawat, Ford Ranger, Humvee dan kenderaan perisai MRAP.
Sejumlah foto dan rakaman video yang disiarkan media baru-baru ini menunjukkan kumpulan Taliban duduk di kerusi pemandu kenderaan darat yang lengkap bersenjata dan pesawat udara.
Ia sekali gus menimbulkan khabar angin bahawa Taliban sudah memiliki aset kententeraan AS bernilai AS$83 bilion (RM344 bilion).

Dalam satu kenyataan bekas Presiden AS, Donald Trump mendesak semua aset ketenteraan terbabit dipulangkan semula kepada AS dengan kadar segera termasuk setiap sen daripada kos AS$85 bilion (RM353 bilion).
Jumlah itu adalah kos perbelanjaan keseluruhan untuk Dana Pasukan Keselamatan Afghanistan sejak pencerobohan AS sejak tahun 2001.
Laporan Pejabat Akauntabiliti Kerajaan 2017 pula mengganggarkan cuma 29 peratus wang diguna untuk peralatan dan pengangkutan (antara 2005 dan 2016, termasuk kos-kos berkaitan).

Ia turut mendedahkan wang pembayar cukai AS digunakan untuk membeli 76,000 unit kenderaan untuk kegunaan di Afghanistan antara 2005 hingga 2016.
Kenderaan berkenaan termasuk sebanyak 43,000 unit Ford Ranger, Humvee (22,000) dan MRAP (900).
Sementara itu, Komando Pusat AS, Jeneral Kenneth F. McKenzie Jr. sebelum meninggalkan lapangan terbang Kabul berkata, aset ketenteraan termasuk kereta kebal dan pesawat itu telah dinyah fungsi serta tidak dapat digunakan tentera Taliban.

Aset-aset tersebut termasuk sistem pertahanan roket Counter, artileri serta Mortar (C-RAM) yang dikerahkan untuk melindungi lapangan terbang.
Sistem pertahanan peluru berpandu itu menghalang serangan roket yang menyasarkan lapangan terbang Kabul kelmarin.
Selain itu, sebanyak 73 buah pesawat turut ditinggalkan serta 27 buah Kenderaan Beroda Serbaguna Bergerak Tinggi (Humvee).-carscoops/theguardian