
PERSEMBAHAN HIBURAN SEBELUM PERLUMBAAN MIAMI GRAND PRIX DAPAT KRITIKAN – GANGGU FOKUS PELUMBA
Sejumlah pemandu Formula 1 telah mengkritik elemen baharu ketika acara pra-Miami Grand Prix di mana 20 minit sebelum perlumbaan, ia dimeriahkan dengan hiburan.
Di Miami Grand Prix, rapper Amerika, LL Cool J memperkenalkan setiap pemandu F1 secara bergilir-gilir dan setiap pemandu akan berjalan keluar di grid di hadapan peminat yang hadir.
Lebih menarik, peminat bukan hanya sekadar menonton perlumbaan GP Miami tetapi juga berpeluang menonton persembahan dari will.i.am serta Lil Wayne.

Acara sebelum perlumbaan itu bagaimanapun mendapat kritikan kerana kebanyakan pemandu berasa kurang senang serta perkara berkenaan boleh mengganggu momentum atau fokus mereka.
Pengarah Persatuan Pemandu Grand Prix, George Russell, mencadangkan atlet dari sukan lain tidak perlu berurusan dengan tahap prosiding pra-acara seperti ini.
“Kami bercakap mengenainya sebagai pemandu, setiap orang mempunyai personaliti berbeza, saya rasa ini adalah cara Amerika,” kata Russell.
“Secara peribadi mungkin bukan untuk saya. Itu hanya pendapat peribadi saya kerana saya di sini untuk berlumba, saya bukan di sini untuk persembahan itu. Saya di sini untuk memandu, di sini untuk menang tetapi saya rasa kita perlu meneruskannya.
Tambahnya lagi, “Saya boleh menghargai dunia hiburan. Kami terbuka kepada perubahan tetapi saya rasa kami tidak mahu melihatnya setiap hujung minggu.”
Pemenang GP Miami, Verstappen merasakan ia tidak perlu tetapi menerimanya secara terbuka.
“Saya fikir sudah tentu apa yang mereka lakukan hari ini tidak perlu.
“Saya lebih suka bercakap dengan jurutera saya, berjalan ke kereta, memakai topi keledar dan memandu.
“Saya berharap persembahan sebelum perlumbaan tidak lagi dilangsungkan kerana kami mempunyai musim begitu panjang. Keutamaan harus diberikan kepada pelumba,” respon Verstappen.
- BACA: JENTERA F1 MERCEDES BAHARU BERWARNA HITAM UNTUK MENGURANGKAN BERAT – HAIH WARNA PUN ADA BERAT KE?
- BACA: FORD BERMINAT TAJA PASUKAN F1 RED BULL. TERLIBAT DALAM ASPEK PEMASARAN SAHAJA
- BACA: KELIRU WARNA PAM MINYAK – LELAKI TAK SENGAJA ISI DIESEL DALAM MCLAREN F1 GTR
- BACA: AUDI SERTAI F1 2026, GABUNG DENGAN PASUKAN SAUBER


