Buletin

TESLA BAKAL LANCAR MODEL 2 UNTUK PASARAN DUNIA. HARGA BERMULA RM101K

Presiden Tesla China, Tom Zhu memberitahu Tesla akan menawarkan sebuah hatchback elektrik untuk pasaran global, mungkin pada hujung tahun 2021 sekurang-kurangnya di China.  

Dalam satu temuramah yang disiarkan oleh saluran YouTube T-Study, Zhu menjawab pelbagai soalan tentang Tesla di China. Ini termasuklah pembinaan kilang Gigafactory dan Pusat Reka Bentuk Tesla di Shanghai.

Mungkin diberi nama Tesla 2, model yang pernah disebut oleh Elon Musk pada acara Battery Day itu mungkin dijual pada harga bermula AS$25,000 (RM101,000) seunit, tidak termasuk kos penghantaran, cukai dan sebagainya.

“Kami merancang untuk membangun dan menghasilkan sebuah model yang rekaan dan dijual dari kilang di China untuk pengguna di seluruh dunia,” kata Zhu.

Laporan itu dilihat selari dengan berita sebelum ini di China yang Model 2 mungkin didedahkan pada acara Guangzhou Auto Show pada November depan.

Namun, masih tidak jelas sama ada nama itu sudah rasmi dan adakah ia akan mengikut bahasa rekaan Model 3 serta Model Y.

Imej render Model 2 sebelum ini pernah dikongsi oleh Tesla China di laman sosial Weibo tahun lalu, apabila ia mula mencari pekerja untuk Pusat Reka Bentuk Tesla.

Biarpun begitu, sebelum Model 2 masuk ke saluran produksi, Tesla perlu berdepan dengan pihak berkuasa China dan menjawab soalan tentang masalah ‘pecutan secara tiba-tiba’ dan kebakaran bateri yang ada dilaporkan oleh media sebelum ini.

Menurut laporan CNN, lima agensi kerajaan China meminta penjelasan daripada Tesla yang menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan di republik itu yang tiada rakan kerjasama dengan syarikat China.

“Kami ambil berat dengan masalah ini dan sedang menjalankan siasatan terperinci. Tesla sememangnya mematuhi undang-undang dan garis panduan kerajaan China, selain menghormati hak-hak pengguna,” kata Tesla dalam satu kenyataan rasmi.

Google ads
Back to top button