Buletin

PIHAK BERKUASA SERBU HQ VW GROUP. DIESELGATE MASIH BELUM BERAKHIR

Ibu pejabat Volkswagen di Wolfsburg diserbu pihak berkuasa Jerman sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut skandal dieselgate.  

Memetik laporan Reuters, serbuan itu dibuat untuk merampas dokumen dan menyiasat keluarga enjin EA 288. Enjin EA 288 ialah pengganti kepada EA 189 yang menjadi punca kepada skandal tersebut.  


Tidak banyak perkembangan dilaporkan, Volkswagen bagaimanapun ada mengeluarkan satu kenyataan bahawa serbuan itu disasarkan kepada kakitangannya.

Walaupun kelihatan serius, Volkswagen meredakan berita itu dengan memberitahu pihaknya memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sejak awal lagi. Volkswagen juga menyifatkan ia sekadar tanggapan pasukan pendakwaan dan siasatan itu adalah tidak berasas.

Pembuat kereta itu menegaskan enjin EA 288 tidak dilengkapi dengan peranti penipuan emisi dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan.

Masih belum jelas siapakah kakitangan yang disasarkan kali ini. Apa yang pasti, bekas Ketua Pegawai Eksekutif VW Group, Martin Winterkorn telah didakwa atas dakwaan konspirasi dan penipuan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat pada tahun 2018.    

Gergasi automotif Jerman itu mahu melupakan skandal yang menyebabkan ia mengalami kerugian lebih €30 bilion (RM139 bilion).

Google ads
Back to top button