Buletin

RIM LEBIH 23 INCI ADALAH MEREPEK – PEREKA BENTUK AUDI

Ketua Pereka Bentuk Audi, Marc Lichte menegaskan bahawa tidak masuk akal untuk pengeluar kereta menawarkan rim lebih besar berbanding apa yang sudah ada di pasaran sekarang.

Lichte memberitahu rim yang melebihi 23 inci seperti pada RS Q8 tidak lagi relevan kerana saiz kereta tidak akan jadi semakin besar.

“Dari segi pakej, saya boleh katakan saiz 23 inci sudah hampir ke hadnya,” katanya merujuk kepada saiz rim paling besar pada RS Q8.   

Pereka bentuk yang berpangkalan di Ingolstadt itu menjelaskan saiz kenderaan akan kekal seperti sekarang kerana industri kini mula beralih kepada kereta elektrik.

Audi dilapor akan memulakan elektrifikasi kenderaannya tidak lama lagi. Lagi pun, rim besar biasanya membuatkan kualiti pemanduan kurang selesa. Lichte bagaimanapun mengakui pereka bentuk selalu melakar kenderaan baharu dengan rim besar.

Namun, biasanya rim itu hanya berlaku pada lakaran dan jarang sekali memasuki saluran produksi kerana masalah kos, pemanduan serta praktikaliti.

Pada tahun 1990-an, rim paling biasa adalah bersaiz 15 inci dan rim 18 inci pula hanya dipasang pada kereta sports. Tetapi, semakin banyak pengeluar yang tampil dengan rim lebih besar supaya kereta kelihatan sporty dan menarik.

Google ads
Back to top button