Buletin

PKP PATUT DILANJUTKAN SEHINGGA HABIS HARI RAYA AIDILFITRI – AMM

Akademi Perubatan Malaysia (AMM) menggesa kerajaan supaya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut AMM, pergerakan dari negeri ke negeri semasa orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya akan memburukkan lagi penyebaran wabak Covid-19.

“Apabila ramai yang balik kampung, ia akan memberi risiko penyebaran virus terutamanya kepada warga emas.

Penjarakan sosial di hentian serta kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya juga berisiko untuk gagal,” katanya dalam satu kenyataan.

AMM berkata, pihaknya memahami keinginan masyarakat untuk meluangkan masa bersama sanak-saudara sempena Hari Raya. Namun dalam berdepan wabak yang belum pernah dihadapi ini, penjarakan sosial perlu terus dilakukan sehinggalah vaksin baharu ditemui.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan penjarakan sosial perlu menjadi norma baharu sekurang-kurangnya untuk satu tempoh waktu sehingga keadaan menjadi terkawal.

“Untuk tahun ini, sekurang-kurangnya perlu ada kawalan, pemantauan atau mungkin haramkan perhimpunan sama ada perhimpunan Ramadan, Aidilfitri atau Haji,” katanya.

Tambah AMM lagi, penarikan balik PKP atau penguatkuasaan yang terlalu longgar akan membuatkan kebaikan yang telah dicapai dalam tempoh empat minggu PKP dilaksanakan menjadi sia-sia.

“Perang melawan Covid-19 masih jauh lagi, banyak pengorbanan yang telah dan akan terus dilakukan dalam tahun ini,” katanya.

AMMM juga mengingatkan hal sama terhadap Pesta Kaamatan pada 30 Mei di Sabah dan Hari Gawai yang akan disambut pada 1 Jun di Sarawak. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button