
UMW TOYOTA SERAH 5 UNIT TOYOTA MIRAI KEPADA SEDC ENERGY DAN PREMIER SARAWAK
UMW Toyota terus komited dalam usaha mencapai neutraliti karbon menjelang 2050 dengan menyerahkan satu unit Toyota Mirai kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg dan empat unit untuk SEDC Energy.
UMW Toyota Motor menghargai usaha SEDC, melalui anak syarikat milik penuhnya, SEDC Energy, untuk melaksanakan aspirasi Kerajaan Sarawak, di bawah pimpinan Abang Johari dalam menjadi peneraju tenaga hijau negara.
Ini adalah salah satu daripada beberapa usaha yang diterajui oleh SEDC Energy dalam mencapai mobiliti hijau, selain membangunkan stesen pelbagai bahan api serta projek hidrogen lain.

Mirai, yang membawa maksud masa depan dalam bahasa Jepun, mewakili serta selaras dengan titik perubahan bagi industri automotif, menawarkan alternatif lebih cekap, bersih dan hijau kepada pengguna.
Menurut Presiden UMW Toyota Ravindran K, kepelbagaian strategi Toyota ini bertujuan membantu masyarakat mengurangkan pelepasan karbon sambil memenuhi keperluan mereka yang semakin berkembang dengan menawarkan pelbagai pilihan Kenderaan Elektrik Toyota.
“Ini juga adalah cara segera ke hadapan untuk menangani pencemaran udara iaitu melalui Kenderaan Elektrik Hibrid (HEV) seperti Corolla Cross HEV yang paling maju dari segi teknologi dan ekonomi, menjadikannya boleh diakses oleh orang ramai.
“Sementara itu, barisan penuh Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) sedang dijalankan di peringkat global dan kami sedang meneroka kemungkinan memperkenalkan model Zero (bZ) untuk pasaran Malaysia.”
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, “Teknologi kita menerusi hidrogen sedang dalam proses peralihan dan kini kita di Sarawak telah mempunyai beberapa kenderaan yang dikuasai oleh hidrogen termasuk beberapa buah bas. Ia secara langsung membuktikan bahawa Sarawak sudah semakin ke hadapan.”