MAZDA MX-5 MIATA VERSI FACELIFT DIKESAN, ADA PERUBAHAN KECIL SAHAJA
Jurugambar, Rollende Reporter baru-baru ini memuat naik beberapa foto Mazda MX-5 Miata versi facelift di akaun Instagram miliknya.
Foto-foto berkenaan berjaya dirakamkan ketika model itu sedang melakukan ujian di Nurburgring. Dari foto tersebut, tidak ada perubahan besar dilakukan oleh Mazda bahkan, sekali pandang, seolah tiada perubahan.
Pertama kali diperkenalkan pada 2015, Mazda MX-5 Miata versi facelift bagaimanapun hanya menerima perubahan kecil namun masih kekal bergaya selayaknya.
Antara perubahan boleh dilihat ialah lampu hadapan mendapat lampu nyalaan LED baharu dengan sentuhan lebih moden, sementara perincian lain dikesan termasuklah bahagian dalaman berwarna hitam, bampar belakang serta unit lampu sepertinya telah disemak semula.
Selain itu, terdapat juga spekulasi mengatakan bahawa model ini bukanlah facelift tetapi jentera baharu.
Sekiranya ia benar, Mazda tidak mempunyai masalah mereka bentuk dan mengeluarkan unit lampu baharu untuk digayakan secara menyeluruh.
Menurut beberapa laporan, model facelift ini dijangka didedahkan kepada umum selepas tahun 2026 kerana di AS, peraturan baru bagi pelepasan Euro 7 hanya digubal pada Julai 2025.
Sehingga hari tersebut tiba, kita hanya mampu berteka-teki sama ada Mazda MX-5 Miata generasi baharu dipacu oleh kuasa elektrik atau mengorak langkah besar meningkatkan lagi kecekapan enjin pembakaran Skyactiv-X.