
POLIS CEDERA PARAH PAUT PADA KERETA SEJAUH 1 KM. HALANG DIRAMPAS PENGUTIP HUTANG
Seorang anggota polis cedera parah apabila berpaut dan terseret pada sebuah kereta sejauh satu kilometer.
Dalam kejadian di Jeneponto, Sulawesi, Indonesia itu, mangsa yang berpaut pada kenderaan terbabit terjatuh dan digilis kenderaan berkenaan.
Menurut laporan Kompas.com, aksinya dirakam dalam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
Insiden itu menyaksikan anggota polis tersebut yang dikenali sebagai Uji Mugni cuba menghalang sebuah kereta dirampas pengutip hutang di sebuah persimpangan di Jalan Sultan Hasanuddin.
Melalui rakaman CCTV, anggota polis itu berpaut pada bahagian hadapan kereta berwarna merah sebelum ia dipandu laju.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba membantu, namun gagal dan anggota polis itu diseret sambil berpaut pada kereta itu sejauh satu kilometer.
Lebih malang, Uji terjatuh ketika kereta itu bergerak dan badannya digilis, menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.
Uji dikejarkan ke hospital dan pemandu kereta merah ditahan pihak berkuasa.
Sementara itu, polis akan menyiasat insiden terbabit bagi mengenal pasti motif pengutip hutang berkenaan. – UTUSAN